KUALA LUMPUR: Nilai-nilai H.E.M.A.T. yang diperkenalkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) terus diperkukuh menerusi peluncuran Dashboard H.E.M.A.T., sebuah platform digital strategik yang berfungsi sebagai medium penyelarasan, pemantauan serta penilaian inisiatif kerajaan secara telus dan berimpak tinggi.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, nilai H.E.M.A.T. merangkumi Hijrah Tata Kelola, Empati Rakyat, Minda Pekin, Apresiasi Inovasi dan Telus Tadbiran yang perlu dijadikan pegangan utama oleh setiap pegawai awam.
“Pelaksanaan nilai tersebut adalah nadi yang menggerakkan usaha merealisasikan aspirasi Malaysia Madani serta menyokong Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA).
“Pegawai awam harus menjadikan nilai ini sebagai panduan harian dalam tugasan mereka. Ia merangkumi aspek integriti, disiplin dan keberkesanan pentadbiran yang dapat meningkatkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan,” katanya ketika melancarkan Dashboard H.E.M.A.T. sempena Bicara Aspirasi H.E.M.A.T. 2025 semalam.

Wan Ahmad Dahlan berkata, antara nilai penting yang diberi penekanan ialah Hijrah Tata Kelola di mana nilai ini mendorong transformasi ketara dalam penyampaian perkhidmatan termasuk memperkenalkan Kiosk Pintar HEMAT ePTGNS di Negeri Sembilan.
Jelasnya, menerusi inisiatif itu, orang ramai kini boleh mencari serta mencetak sendiri dokumen berkaitan tanah tanpa perlu beratur panjang di kaunter Pejabat Tanah dan Galian.
“Selain itu, pelbagai sistem manual juga telah ditukar kepada sistem digital yang lebih efisien.
“Antaranya termasuk Sistem Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, Sistem Pembelajaran Perkhidmatan Sosial Institut Sosial Malaysia serta Resident Information Management System.
“Kejayaan ini membuktikan pembaharuan digital memberi kesan langsung kepada keberkesanan perkhidmatan awam,” jelasnya.
Menurut beliau, peluncuran Dashboard H.E.M.A.T. adalah kesinambungan kepada siri Bicara Aspirasi yang sudah dimulakan sejak tahun lalu.
Katanya, platform tersebut bukan sahaja untuk pegawai awam, sebaliknya turut memberi manfaat besar kepada rakyat.
“Dashboard ini mempunyai fungsi praktikal yang membolehkan status inisiatif terkini dapat dilihat, keberkesanan projek dinilai serta impaknya diukur secara masa nyata.
“Jika sebelum ini orang ramai tidak mengetahui tentang pelbagai kemudahan, kini semuanya tersedia di hujung jari. Sebagai contoh, sistem e-Tanah sudah memudahkan urusan rakyat tanpa perlu ke pejabat secara fizikal,” katanya.
Menurut Wan Ahmad Dahlan, inisiatif digital itu juga dapat menjimatkan kos operasi kerajaan serta meningkatkan tahap kepuasan awam yang sebelum ini sering merungut mengenai kelewatan di kaunter perkhidmatan.
Malah katanya, setiap inovasi yang dipamerkan di Dashboard H.E.M.A.T. turut dinilai pakar rujuk daripada kalangan ahli akademik berpengalaman.
“Langkah ini bagi memastikan keberkesanan bukan hanya dilihat dari sudut angka, malah turut mengambil kira manfaat sosial dan kualiti perkhidmatan yang diterima rakyat.
“Bagi memastikan pelaksanaan yang bersepadu, setiap kementerian dan kerajaan negeri telah melantik pegawai perhubungan atau focal person. Mereka bertanggungjawab mengumpul, menilai dan melaporkan inisiatif berasaskan nilai H.E.M.A.T. di agensi masing-masing,” katanya.

Dashboard ini turut dijadikan simbol reformasi digital yang menandakan hala tuju baharu dalam perkhidmatan awam negara.
Lebih penting, pendekatan ini seiring dengan gaya hidup generasi muda termasuk Gen Z yang cenderung mendapatkan maklumat dengan pantas melalui platform digital.
Dalam pada itu, program Bicara Aspirasi H.E.M.A.T. 2025 yang berlangsung semalam dianjurkan bagi memperkukuh pembangunan minda, sahsiah dan budaya kerja pegawai awam.
Ia juga bertujuan meningkatkan kefahaman mengenai dasar kerajaan serta kepentingan nilai H.E.M.A.T. dalam tugas seharian.
Sejak siri ini dimulakan pada 2024, seramai 6,895 pegawai awam telah menyertainya dengan memberikan maklum balas yang positif.
Hasil kajian JPA mendapati, 57 peratus peserta melaporkan peningkatan keupayaan pengurusan kendiri, 64 peratus menilai prestasi kerja mereka bertambah baik manakala lebih 85 peratus bersetuju nilai H.E.M.A.T. boleh diterapkan secara praktikal.
Wan Ahmad Dahlan berkata, segala rungutan rakyat mengenai perkhidmatan awam, khususnya kelewatan di kaunter, dapat diatasi sekiranya inisiatif inovatif seperti ini terus diperkukuhkan.
“Dashboard H.E.M.A.T. adalah bukti bahawa transformasi digital bukan sekadar slogan, tetapi realiti yang mampu membawa perubahan besar kepada rakyat dan negara,” katanya. – UTUSAN