Daftar kad SIM prabayar guna MyDigital ID mulai akhir tahun ini

Daftar kad SIM prabayar guna MyDigital ID mulai akhir tahun ini

FAHMI FADZIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Penggunaan MyDigital ID akan digunakan sepenuhnya bagi proses pendaftaran kad SIM kad prabayar sebagai pengesahan identiti rasmi.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, semua syarikat telekomunikasi di Malaysia akan diarahkan melaksanakan proses pendaftaran itu dalam usaha memperkukuh aspek keselamatan digital.

“Dalam mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat (MED4IR) yang telah berlangsung semalam, ada dibincangkan aspek pendaftaran kad SIM.

“Ini akan mula dikuatkuasakan insya- Allah pada akhir tahun ini. Pihak MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) akan susuli dengan maklumat yang lebih terperinci,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Katanya, pendekatan itu penting bagi menutup kelompangan yang wujud dalam sistem sedia ada dan mengelakkan sebarang potensi salah guna oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Sebelum ini, Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) Siraj Jalil dilaporkan berkata, rancangan kerajaan mengetatkan pengesahan umur di platform media sosial seperti TikTok berisiko gagal sekiranya Malaysia tidak terlebih dahulu menangani kelemahan dalam pendaftaran SIM.

Menurut Siraj, walaupun wujud kebimbangan mengenai ancaman dalam talian terhadap kanak-kanak, masalah utama sebenarnya bermula melalui kad SIM yang mudah didapati.

Dalam perkembangan sama, Fahmi berkata, pihaknya juga akan menilai aspek-aspek lain seperti jumlah milikan kad SIM yang boleh didaftar atas satu nama.

“Kita dapati ia (pendaftaran kad SIM) adalah sangat tinggi. Tapi aspek ini yang kita sedikit risau kerana memang hasrat kita adalah untuk memastikan aspek keselamatan termasuk bagi pengguna media sosial.

“Jadi pendaftaran nombor-nombor telefon ini juga merupakan salah satu cara untuk kita tutup kelompangan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN