TELUK INTAN: Lelaki yang diberkas selepas dikejar polis sejauh lebih 60 kilometer sehingga mencetuskan insiden tembakan dan cubaan melanggar anggota keselamatan di Behrang Sabtu lalu, menangis teresak-esak ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Tertuduh, Mohd. Ameerul Asraf Mohd. Saipul, 35, gagal mengawal emosi sebaik sahaja dibawa masuk ke mahkamah dan duduk di kandang pesalah sehingga terpaksa ditenangkan oleh isteri dan peguamnya.
Dalam prosiding di hadapan Hakim Norhamizah Shaiffuddin, tertuduh mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas pertuduhan cubaan membunuh empat anggota polis.
Mengikut pertuduhan, bapa kepada lima anak itu dakwa telah melakukan perbuatan cubaan bunuh sehingga menyebabkan kecederaan kepada Mohd. Azizul Yahya, Muhammad Lokman Nulhakim Mahdhir, S. Muniya Kaunden dan Noor Azam Man.
Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut berhampiran Stesen Minyak Petron, Hentian Rehat Behrang, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan dalam daerah Muallim pada pukul 11 pagi, 20 September 2025.
Pertuduhan terhadap lelaki itu dikemukakan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan. – UTUSAN