Melangkah masuk ke restoran Banglo 289 di cawangan ketiganya yang baru dibuka di Pusat Beli-belah IOI, Putrajaya, saya terus terkesima dengan bau aroma masakan hidangan kampung.
Melihat sahaja konsep bufet yang dihidangkan, membuatkan saya rasa rambang mata, seolah-olah tidak tahu dari mana hendak mula untuk memilih.
Deretan lauk-pauk kampung dari pelbagai negeri disusun penuh menggoda, siap dengan kudapan tradisi yang menambahkan suasana meriah.

Antara menu ikonik Banglo 289 iaitu daging salai masak lemak cili api, ikan patin masak tempoyak, pelbagai jenis asam pedas, daging masak hitam, ulam-ulaman, kuih muih dan 50 lagi jenis lauk kampung yang dimasak segar setiap hari.
Menurut Ketua Pegawai Operasi, Ain Razali, salah satu keistimewaan Banglo 289 adalah mengekalkan keaslian rasa hidangan dengan melalui penggunaan bahan-bahan segar.

“Pada setiap pagi, pasukan dapur akan mendapatkan sayur-sayuran hijau, lauk-pauk segar, serta rempah ratus pilihan bagi memastikan setiap hidangan yang disajikan berada pada tahap kualiti terbaik,” katanya.
Malah, katanya, setiap hidangan dimasak dalam kuantiti kecil secara berperingkat supaya pelanggan menikmati makanan yang panas terus dari dapur.
Dengan cara tersebut, keenakan rasa dan kesegaran lauk sentiasa terjaga, seolah-olah baru sahaja dihidang di meja makan rumah sendiri.
Katanya, kesegaran tersebut bukan sahaja mengekalkan keaslian masakan tradisional, malah menjadikan setiap hidangan lebih wangi, berperisa, dan menyelerakan.
Tidak hairanlah apabila pelanggan menikmati gulai lemak, asam pedas, sambal tumis atau ulam-ulaman di sini, rasanya benar-benar mengingatkan kepada warisan asli.
Dari lauk utama hingga ke kudapan ringan seperti keropok, cucur atau kuih-muih tradisi, semuanya disediakan dengan penuh teliti agar pengalaman menjamu selera di Banglo 289 terasa istimewa dan membangkitkan nostalgia.
Setiap suapan lauk-pauk yang saya cuba, menghadirkan rasa rindu. Rindu pada masakan ibu yang penuh kasih sayang, dengan aroma tumisan bawang yang harum menusuk hidung sebaik sahaja kuali menyentuh api.
Rindu juga pada suasana makan beramai-ramai bersama-sama keluarga, ditemani kesederhanaan kampung yang kini jarang kita rasai dalam hiruk-pikuk kehidupan kota.
Berkongsikan rahsia hidangan daging salai masak lemak cili api yang jauh berbeza daripada kedai makan lain, Ain Razali berkata, beliau bersama kumpulannya menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) selama enam bulan.
“Daging salai yang menjadi kegemaran pelanggan juga disalai sendiri bagi mengekalkan keaslian rasa tradisi.

“Prosesnya dilakukan dengan penuh teliti supaya aroma asapnya meresap sekata ke dalam daging, menghasilkan rasa yang lebih harum dan tekstur yang lembut,” ujar beliau.
Tambah beliau, daging salai diproses sendiri oleh kumpulan Banglo 289 bagi memastikan kualiti dan cita rasa yang sesuai dengan selera rakyat Malaysia.
Katanya, keputusan tidak mahu menggunakan daging salai dari tempat lain kerana ada yang mempunyai bau kurang menyenangkan, malah terdapat teksturnya terlalu keras.
Sepanjang proses uji kaji bagi menghasilkan daging salai yang terbaik, beliau bersama kumpulannya memastikan agar hasil salai masih mengekalkan daging yang masih tekstur lembut dengan aroma asap yang tidak kuat.
Di Banglo 289, dari pagi hingga ke malam, hidangan yang disediakan tidak akan sama.
Justeru, jika anda tidak berpeluang meneroka sarapan yang wajib dimakan di negeri-negeri lain, maka di restoran tersebut, ia menyediakan pelbagai jenis hidangan pagi.
Antaranya, roti canai, tosai, lempeng pisang, bubur kacang, pengat ubi kayu, nasi lemak, pelbagai jenis laksa, sekali gus membuatkan anda sukar untuk membuat pilihan yang tepat. – UTUSAN










