KANGAR: Calon dari Pas yang layak diketengahkan sebagai Perdana Menteri mestilah dalam kalangan pemimpin yang paling takut kepada Allah dan mengikut perintahnya.
Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, pemimpin yang takut dengan Allah tidak akan melakukan sebarang kemungkaran, selain bersedia berkorban demi rakyat.
Katanya, antara pemimpin contoh seperti itu ialah Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat dan pemimpin dari Pas yang bakal diangkat sebagai calon Perdana Menteri perlu mempunyai ciri-ciri seperti bekas Menteri Besar Kelantan itu.
“Kalau pemimpin yang diberi amanah untuk mengetuai kerajaan Persekutuan mengamalkan dasar sama (Islam) dipegang oleh Tok Guru Nik Aziz maka dia akan kekal. Benda-benda seperti inilah dinilai oleh rakyat dan dapat berkat dari Allah. Berapa lama dia jadi Menteri Besar. Orang kata tiga bulan, tetapi 20 tahun lebih dia boleh berkuasa dan memerintah.
“Itu sikap yang berpegang pada dasar Islam yang sebenar bukan untuk kepentingan, tetapi demi Islam. Yang itu Tok Guru Nik Aziz semai elok-elok, benda haram dia tidak benar di Kelantan. Berkat dari itu sejak tahun 1990 sampai sekarang, kita masih merasai berkat di Kelantan.
“Kedua pula, orang yang beramal dengan syariat dan menurut perintah Allah. Pemimpin terbaik adalah yang bersedia berkorban untuk rakyat,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang secara terbuka menolak sekiranya dicalonkan sebagai calon Perdana Menteri dari Pas, khususnya atas faktor usia dan kesihatan.
Ahli Parlimen Marang itu berkata, Pas mempunyai ramai calon untuk diketengahkan sebagai Perdana Menteri, namun bukan dirinya yang sudah berusia lebih 70 tahun.
Abdul Hadi berkata, Pas mempunyai panduan dalam memilih calon Perdana Menteri, antaranya mestilah berilmu, berintegriti dan sihat tubuh badan.
Hashim berkata, barisan jawatankuasa Pas yang baharu perlu meningkatkan khidmat dalam jemaah.
“Kita bukan sempurna buat keputusan dasar dan sebagainya, jawatankuasa Pas baharu boleh kaji di mana kebaikan dan kekurangan dengan yang baik, boleh diteruskan. Perbaiki kelemahan dan kekalkan kebaikan,” katanya. – UTUSAN










