Cabaran Joran Selangor 2025: Siapa bakal bawa pulang RM10,000?

Cabaran Joran Selangor 2025: Siapa bakal bawa pulang RM10,000?

joran
Majlis melepaskan ikan sempena Cabaran Joran Selangor 2025 yang akan berlangsung di Tasik Bandaran Kelana Jaya, Ahad ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
PETALING JAYA: Hadiah utama RM10,000 bakal menjadi rebutan apabila Cabaran Joran Selangor 2025 berlangsung di Tasik Bandaran Kelana Jaya, Ahad ini, dengan penyertaan disasarkan mencecah 500 kaki pancing dari seluruh negara.
Acara anjuran bersama Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Kembara Media Events ini menjanjikan hadiah lumayan bernilai lebih RM25,500, termasuk RM10,000 untuk juara, RM3,000 buat naib juara dan RM1,000 bagi pemenang tempat ketiga. Tidak cukup dengan itu, hadiah wang tunai turut disediakan sehingga tempat ke-100, memberi peluang lebih luas untuk peserta pulang dengan habuan.
Lebih menarik, tiga unit televisyen 32 inci juga menanti pemancing bertuah menerusi cabutan bertuah sepanjang acara – jadi bukan hanya tangkapan ikan yang menentukan rezeki!
Sebagai pemanas cabaran, majlis pelepasan hampir 150 kilogram ikan baung telah diadakan semalam, disempurnakan oleh Ahli Majlis Zon 22 MBPJ, Mohamed Hamka Mohamed Jumah. Inisiatif ini dilaksanakan bagi melestarikan tasik demi ekosistem tasik, dengan menambah stok ikan tempatan serta mengawal kehadiran spesies larangan.
Untuk cabaran kali ini, tiga tasik utama di Kelana Jaya akan dibuka khas, dihuni ikan mega seperti patin, keli, jelawat dan belida. Pada edisi Februari lalu, rekod tangkapan terbaik dicatatkan apabila seekor patin seberat 13.305 kilogram berjaya didaratkan, manakala keseluruhannya 230 ekor ikan pelbagai spesies ditangkap.
Menurut Timbalan Datuk Bandar Petaling Jaya, Aznan Hassan, pertandingan ini bukan sekadar menguji kehebatan kaki pancing, malah menjadi platform menggalakkan gaya hidup sihat, mengeratkan hubungan kekeluargaan dan merancakkan ekonomi setempat menerusi sektor pelancongan.
“Program sebegini mengangkat Petaling Jaya sebagai destinasi rekreasi air pilihan, di samping menyemarakkan lagi Tahun Melawat Selangor 2025,” katanya.
Penyertaan hanya RM70 bagi satu joran (dua mata). Pendaftaran dibuka Sabtu, 27 September dari jam 3 petang hingga 7 malam, serta pada hari pertandingan bermula seawal jam 6.30 pagi. Sebanyak 500 helai t-shirt eksklusif juga menanti peserta terawal.
Cabaran ini turut mendapat sokongan Tourism Malaysia sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 dan Tahun Melawat Selangor 2025. – UTUSAN
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN