KUALA TERENGGANU: Hari pertama pelaksanaan inisiatif subsidi petrol Budi Madani RON95 (BUDI95) berjalan lancar dengan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjadi kumpulan terawal menikmati kemudahan itu, hari ini.
Tinjauan di beberapa stesen minyak sekitar bandar ini mendapati, sistem berfungsi dengan baik manakala pengguna hanya mengambil masa kurang dua minit untuk melengkapkan transaksi pembelian petrol.
Selain menjimatkan masa, penggunaan MyKad terus di pam juga memudahkan urusan kerana pengguna tidak perlu lagi ke kaunter untuk pengesahan kelayakan subsidi.
Seorang pengguna terawal, Asistan Superintenden Zulfadli Zulkifli berkata, proses pembelian petrol di stesen minyak berjalan pantas dan lebih mudah dengan sistem baharu itu.
Ujarnya, pemilihan stesen minyak juga penting kerana stesen yang lebih besar memudahkan pengguna ekoran di pam minyak sudah disediakan terminal untuk MyKad.
“Semuanya berjalan dengan baik cuma saya nampak perbezaan di stesen minyak besar lebih mudah sebab kita boleh letak MyKad terus di pam untuk pengesahan kelayakan subsidi tanpa perlu ke kaunter. Ia lebih menjimatkan masa, dari segi sistem pula saya nampak tiada masalah sebab semuanya berjalan dengan lancar,” ujarnya ketika ditemui.
Seorang lagi anggota polis, Mohammad Asyraf Mohammad Fetri turut berpuas hati walaupun mengakui terdapat sedikit kekeliruan daripada kakitangan stesen minyak memandangkan ia hari pertama dilaksanakan.
“Bagi saya proses itu mudah dan cepat, cuma mungkin ini hari pertama, jadi pekerja ada sedikit keliru nak guna macam mana tapi dari segi pelaksanaan semuanya baik,” katanya.
Sementara itu, Nur Mariam Abu Hassan menyifatkan subsidi BUDI95 ini banyak membantu meringankan beban pengguna.
“Walaupun ada yang kata tidak banyak beza daripada harga pasaran tetapi bagi saya subsidi ini sangat membantu. Terima kasih juga kepada kerajaan kerana memberi peluang kepada kami anggota PDRM menjadi antara yang terawal menggunakan BUDI95 ini,” katanya.
Inisiatif BUDI95 dilaksanakan secara berperingkat dengan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang merupakan golongan B40 akan mula menikmatinya pada 28 September, diikuti warganegara Malaysia berumur 16 tahun dan ke atas yang memiliki MyKad dan lesen memandu aktif mulai 30 September ini.
Menerusi inisiatif BUDI95 ini, rakyat Malaysia akan menerima siling kelayakan bulanan RON95 sebanyak 300 liter dengan RM1.99/liter. – UTUSAN