BUDI95 suntik semangat warga PDRM

BUDI95 suntik semangat warga PDRM

MOHD. KHALID ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA:  Polis Diraja Malaysia (PDRM) yakin pelaksanaan program Budi Madani RON95 (BUDI95) mampu menyuntik semangat warga kerja pasukan keselamatan itu selain memberi nilai tambah terhadap keberkesanan operasi demi kesejahteraan rakyat dan kedaulatan negara.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, inisiatif tersebut membuktikan komitmen kerajaan dalam memperkukuh kesiapsiagaan keselamatan negara melalui sokongan berterusan kepada anggota polis.

“PDRM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan Malaysia MADANI atas pelaksanaan program BUDI95 yang mula digunakan hari ini,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Seramai 300,000 anggota tentera dan polis menjadi kumpulan pertama menikmati subsidi petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter berbanding harga pasaran RM2.05 seliter, susulan pelaksanaan BUDI95 bermula hari ini.

Langkah itu selaras dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 22 September lalu mengenai pelaksanaan subsidi bersasar petrol RON95 yang diagihkan secara berperingkat.

Selepas anggota tentera dan polis, giliran penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) daripada kalangan B40 akan menikmati subsidi tersebut pada 28 September ini.

Seterusnya, program itu akan diperluaskan kepada kira-kira 16 juta rakyat Malaysia berusia 16 tahun ke atas yang memiliki MyKad dan lesen memandu aktif bermula 30 September. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN