PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim walaupun ada segelintir pihak yang cuba memburukkan pelaksanaan Program Budi Madani RON95 (BUDI95), tetapi realitinya ia memberi manfaat dan sedang dinikmati puluhan juta rakyat.
Perdana Menteri berkata, beberapa pendakwah bebas mengkritik pelaksaan program itu tanpa memahami rasional di sebalik dasar terbabit.
“Kalau benar guna RON95, kita akan bantu. Tapi jangan ikut naratif pembenci yang mahu gagalkan usaha ini. Apa yang penting ialah faedah besar untuk rakyat.
“Ada ustaz kata ini zalim, dia marah betul. Kawan hantar kepada saya, saya dengar dia kata pergi dakwah merata-rata. Minimum (isi minyak) 600 liter. Dia tidak fikir sebahagian kita (kerajaan) bayar (300 liter).
“Ada pihak yang marah hanya kerana penurunan harga RON95 sebanyak enam sen memerlukan proses pendaftaran MyKad untuk pengesahan sedangkan langkah itu perlu bagi memastikan subsidi sampai kepada rakyat Malaysia sahaja,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan bulanan Kementerian Kewangan, di sini hari ini.
Sementara itu, Anwar menegaskan, kerajaan akan terus komited memperkukuh penguatkuasaan termasuk dalam pengendalian tender, kawal selia hasil, serta usaha mengurangkan ketirisan melalui kerjasama erat antara Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan agensi lain.
Katanya, ia bagi memastikan rakyat mendapat manfaat menerusi agihan program-program subsidi termasuk BUDI95.
“Penjimatan subsidi ini tidak mungkin dapat dilaksanakan tanpa keberkesanan pegawai Kementerian Kewangan dan penjawat awam lain di semua peringkat,” katanya. – UTUSAN










