Bomba Perak sedia latih anggota kuasai kemahiran bahasa isyarat - Utusan Malaysia

Bomba Perak sedia latih anggota kuasai kemahiran bahasa isyarat

SAYANI Saidon menggunakan bahasa isyarat ketika beramah mesra bersama pengunjung pada Kempen Kesedaran Kebakaran bersama Komuniti Pekak di Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Intan, hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak sedia melatih pegawai dan anggotanya dalam kemahiran bahasa isyarat bagi memastikan mesej keselamatan kebakaran dapat disampaikan dengan berkesan kepada komuniti orang kurang upaya (OKU) pendengaran.

Pengarahnya, Sayani Saidon berkata, terdapat keperluan bagi warga bomba meningkatkan kemahiran tersebut agar golongan istimewa memperoleh maklumat tepat ketika berdepan situasi kecemasan khususnya kebakaran.

Katanya, setakat ini, hanya seorang anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Intan memiliki kemahiran dalam menggunakan bahasa isyarat.

“Saya melihat kepentingan untuk melatih pegawai dan anggota bomba mengenai bahasa isyarat. Kalau boleh, kita panggil guru untuk mengajar atau adakan kursus.

“Dengan cara ini, kita dapat menyampaikan lebih banyak maklumat mengenai keselamatan kebakaran kepada komuniti tersebut. Kita perlu memahami keadaan mereka barulah kita dapat menyampaikan maklumat dengan berkesan,” katanya ketika ditemui pada Kempen Kesedaran Kebakaran Bersama Komuniti Pekak di BBP Teluk Intan di sini hari ini.

Sementara itu, mengulas mengenai program yang julung kali diadakan itu, Sayani berkata, ia mendapat sambutan menggalakkan daripada komuniti OKU pendengaran meskipun berdepan keterbatasan komunikasi.

Katanya, kemahiran anggota bomba yang fasih bahasa isyarat dibantu guru-guru bahasa isyarat membolehkan penyampaian maklumat lebih jelas dilaksanakan.

“Mereka diajar teknik membuat panggilan kecemasan menggunakan aplikasi SaveME 999 DEAF sekiranya berlaku kecemasan dan kaedah menyelamatkan diri ketika berlaku kebakaran.

“Rata-rata yang hadir juga teruja apabila diberi peluang mencuba menggunakan peralatan bomba dan merasai sendiri tugas sebagai anggota bomba. Ini merupakan pengalaman baharu untuk mereka,” katanya.

Melihat sambutan itu, beliau berkata pihaknya akan memperkukuh kerjasama dengan persatuan OKU pendengaran bagi membolehkan program seumpama ini diperluas ke seluruh negeri sebelum melibatkan komuniti OKU lain seperti cacat penglihatan.

“Kita tidak mahu golongan ini terpinggir. Program sebegini akan terus diperluas bagi memastikan mesej keselamatan sampai kepada semua lapisan masyarakat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN