PETALING JAYA: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor mengambil masa sejam bagi mengawal kebakaran dua buah kilang di Jalan Sinaran 6, Kawasan Perindustrian Sinaran, Kajang di sini hari ini
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.45 petang, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, sebaik menerima laporan, jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Tun Hussien Onn bergegas ke lokasi dan tiba pada pukul 2 petang.
“Setibanya di lokasi, anggota bomba mendapati kebakaran melibatkan dua buah kilang berkeluasan setiap satu anggaran 80 x 150 kaki persegi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Katanya, kebakaran membabitkan sebuah kilang plastik yang terbakar kira-kira 20 peratus dan sebuah kilang sarung tangan yang terbakar kira-kira 80 peratus.
Jelasnya, operasi ini membabitkan seramai 38 anggota dengan kekuatan aset empat jentera Fire Rescue Tender (FRT), lima unit tangki air, sebuah jentera Aerial Ladder Platform (ALP) serta sebuah unit Emergency Medical Rescue Services (EMRS).
“Operasi turut mendapat bantuan daripada BBP Kajang, Sri Kembangan, Bangi, Cyberjaya, Shah Alam, Hang Tuah serta Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Balakong,” ujarnya.
Ahmad Mukhlis berkata, api berjaya dikawal pada pukul 3.14 petang selepas kerja-kerja pemadaman dijalankan menggunakan pili bomba serta jentera tangki air.
“Pemadaman dilaksanakan menerusi lima aliran sepanjang 400 kaki dengan tujuh pancutan nozzle,” katanya. – UTUSAN