'Bina Ummah Madani dengan literasi digital berlandaskan ilmu, akhlak'

‘Bina Ummah Madani dengan literasi digital berlandaskan ilmu, akhlak’

RAMLI Ngah Talib (tiga dari kiri) pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri Pulau Pinang di Seberang Jaya, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM : Ummah Madani mesti dibina dengan literasi digital berlandaskan ilmu dan akhlak agar masyarakat Pulau Pinang bukan sahaja maju dari segi ekonomi dan teknologi, tetapi juga kukuh dari segi iman dan moral.

Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib berkata, sehubungan itu, umat Islam di negeri ini perlu bergerak seiring dan memperlengkapkan diri dengan nilai keilmuan.

Pada masa yang sama katanya, institusi keluarga juga perlu diperkukuhkan bagi menjamin kesejahteraan umat Islam yang lebih berdaya saing menjelang tahun 2030 nanti.

“Sejujurnya, saya amat bersyukur dan kagum dengan hakikat bahawa peruntukan pembangunan agama Islam di negeri ini adalah antara yang tertinggi di Malaysia dengan melibatkan pembangunan masjid, sekolah agama, institusi tahfiz, wakaf, zakat dan dakwah.

“Saya berharap agar usaha ini dapat terus diperkukuh melalui Agenda Pembangunan Agama Islam Pulau Pinang (APAI2030) yang digagaskan oleh kepimpinan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri Pulau Pinang di Seberang Jaya di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid; Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Datuk Seri Zulkifli Long; Mufti negeri, Datuk Dr. Mohd. Sukki Othman serta beberapa kenamaan lain.

Pada majlis itu, seorang pendakwah yang juga mudir Sekolah Agama Madrasah Al-Ahmadiah al-Ijtima’iyah di Padang Lalang di sini iaitu Hamzah Jaafar dinobatkan sebagai Tokoh Maulidur Rasul peringkat negeri.

Mengulas lanjut, Ramli berkata, beliau yakin dan percaya bahawa rangka tindakan ini dibuat bagi memastikan pembangunan rohani seiring dengan pembangunan fizikal dan ekonomi umat Islam di Pulau Pinang.

“Mesejnya jelas, Pulau Pinang tidak boleh hanya maju dari segi material, tetapi mesti juga membina jati diri rakyat yang berintegriti, berakhlak dan berjiwa Islam,” kata beliau.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN