Bersatu berhak bawa usul calon PM - Tun Faisal

Bersatu berhak bawa usul calon PM – Tun Faisal

TUN FAISAL ISMAIL AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Parti komponen dalam Perikatan Nasional (PN) mempunyai hak yang sama untuk mengusulkan calon Perdana Menteri masing-masing menerusi kepimpinan tertinggi parti mereka.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, usul seumpama itu seharusnya dibuat secara rasmi dalam Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) atau muktamar parti kerana ia lebih sahih berbanding sekadar kenyataan media atau saluran lain.

“Seperti Bersatu, parti lain juga boleh membawa usul sama dalam PAT atau muktamar masing-masing. Ia adalah hak mutlak ahli parti untuk menamakan pemimpin mereka sebagai calon Perdana Menteri.

“Namun secara etika, Bersatu tidak pernah menamakan pemimpin Pas, Gerakan atau MIPP sebagai calon Perdana Menteri kerana kami menghormati hak dan pilihan ahli-ahli parti tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tun Faisal berkata, usul mencalonkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri ke-11 yang diluluskan sebulat suara dalam PAT Bersatu baru-baru ini adalah keputusan sah dan wajar dihormati kerana ia dibuat mengikut perlembagaan parti.

Katanya, keputusan itu akan dibawa ke Majlis Presiden PN untuk diputuskan secara konsensus bersama parti-parti komponen lain.

“Bersatu juga akan menghormati keputusan mana-mana parti komponen lain yang membawa usul sama dalam platform rasmi mereka.

“Ini negara demokrasi, maka setiap parti dalam PN berhak menentukan pendirian masing-masing sebelum ia dibincangkan di peringkat Majlis Presiden,” katanya.

Tun Faisal berkata, pencalonan Muhyiddin dibuat berdasarkan merit kepimpinan dan pengalaman beliau menguruskan negara terutama semasa krisis pandemik Covid-19.

Katanya, rekod pentadbiran juga yang diyakini mampu mengembalikan keyakinan rakyat. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN