Benjolan kecil di leher buat Mohd. Ridzuan derita

Benjolan kecil di leher buat Mohd. Ridzuan derita

MOHD. Ridzuan Mohd. Rashid (kiri) terlantar di atas katil setelah disahkan menghidap kanser tahap empat di kediamannya di Indera Mahkota, Kuantan, Pahang. – UTUSAN/SHEIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Dahulu seorang jurutera yang aktif dan berdedikasi, kini Mohd. Ridzuan Mohd. Rashid, 53, hanya terlantar di rumah akibat kanser lidah tahap empat yang meragut bukan sahaja kesihatannya, tetapi kehidupannya sekeluarga.

Mohd. Ridzuan berkata, dia tidak menyangka benjolan kecil di pangkal lehernya menjadi titik tolak kepada penderitaan berpanjangan dialaminya.

“Tiga tahun lalu saya membuat pemeriksaan di klinik biasa dan diberikan antibiotik berikutan secara fizikalnya ia kelihatan seperti jangkitan biasa. Walaupun saya ikut segala saranan dan ubat-ubatan yang dibekalkan, benjolan tersebut tidak surut.

“Saya, kemudian dirujuk ke hospital untuk pemeriksaan lanjut dan disahkan menghidap kanser lidah tahap satu. Selepas melalui beberapa siri pembedahan, kimoterapi dan radioterapi, penyakit itu semakin agresif dan saya hanya mampu berbaring serta bergantung kepada susu khas yang dimasukkan melalui tiub,” katanya kepada Utusan Malaysia di Indera Mahkota 15, di sini.

Mohd. Ridzuan berkata, lebih meruntun jiwa, isterinya Rina Zainal Abidin, 52, seorang guru, terpaksa mengambil cuti tanpa rekod sejak penyakitnya mencapai tahap kritikal.

Kini, Mohd. Ridzuan memerlukan rawatan lanjutan di hospital swasta yang memiliki kepakaran khusus dalam merawat kanser lidah, namun kos anggaran yang diberikan terlalu tinggi.

“Doktor beritahu kos rawatan boleh mencecah RM100,000. Saya memang tak mampu. Itu sebabnya saya mohon kalau ada pihak yang sudi bantu. Mereka yang ingin menyumbang boleh hubungi Rina di 013-9398739,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN