PUTRAJAYA: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) mencadangkan untuk mewujudkan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) khusus bagi golongan orang kurang upaya (OKU).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu antara dikemukakan pada sesi dialog Belanjawan 2026 Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), hari ini.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, cadangan itu akan dibawa ke Majlis TVET Negara sebelum dikemukakan kepada Kementerian Kewangan.
“Saya akan kemukakan cadangan ini kepada Kementeriaan Kewangan untuk dijadikan sebagai salah satu agenda di dalam ucapan Belanjawan pada 10 Oktober ini.
“Komuniti OKU dan golongan istimewa ini harus diberikan peluang sama rata dan kursus-kursus yang bersesuaian dengan cita rasa mereka serta bertepatan dengan kehendak pasaran,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri sesi dialog yang diadakan secara tertutup di sini, hari ini.
Katanya, antara cadangan lain dikemukakan termasuk membuka akses TVET kepada pelajar sekolah pondok.
Ahmad Zahid berkata, beliau turut menerima cadangan untuk mewujudkan program TVET maritim di Pantai Timur bagi melatih belia dalam bidang kelautan dan keusahawanan laut dalam. – UTUSAN