Bas hilang kawalan punca kemalangan enam kenderaan

Bas hilang kawalan punca kemalangan enam kenderaan

terkini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Enam buah kenderaan terbabit kemalangan di Jalan Hang Tuah di sini berpunca daripada sebuah bas yang hilang kawalan akibat masalah teknikal.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 11.30 malam berhadapan Masjid Al-Bukhary

Katanya, bas dipandu lelaki berusia lingkungan 40-an telah hilang kawalan dan merempuh sebuah kereta Nissan Sylphy dipandu lelaki berusia 56 tahun.

“Impak pelanggaran tersebut menyebabkan sebuah lagi bas jenis Scania, sebuah Hyundai Staria, sebuah Toyota Vios serta sebuah Honda City turut terbabit dalam nahas itu.

“Bas terbabit membawa penumpang namun kesemua mereka tidak mengalami sebarang kecederaan dan berjaya turun dengan selamat di lokasi kemalangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, pemandu kereta Nissan Sylphy serta beberapa penumpangnya mengalami kecederaan ringan dan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan. Semua mangsa kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Kes berkenaan kini sedang disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur dalam kenyataan berasingan memaklumkan menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada pukul 10.49 malam.

Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Che Mohd. Solehuddin Che Jusoh berkata, jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Hang Tuah dengan bantuan BBP Pudu telah digerakkan dengan kekuatan seramai 13 anggota dan dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) digerakkan ke lokasi untuk operasi menyelamatkan mangsa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×