PETALING JAYA: “Saya tidak nafikan filem gengster mungkin antara puncanya.”
Demikian kata pelakon, Datuk Aaron Aziz yang tidak menafikan filem berunsurkan gangsterisme menjadi antara penyumbang kes buli di peringkat sekolah semakin berleluasa.
Namun, Aaron atau Aaron Mustapha Aziz, 49, menekankan bahawa ada juga beberapa faktor lain yang mempengaruhi generasi kini untuk terjerumus dalam gejala itu.
“Sewaktu KL Gangster ditayangkan, memang ada ibu bapa hubungi saya meminta nasihatkan anak mereka yang terpengaruh dengan babak aksi.
“Saya ada titipkan ingatan kepada mereka secara baik tapi sebenarnya bukan daripada filem semata-mata, ada banyak lagi faktor lain termasuk YouTube yang memang tiada tapisan.
“Begitupun, pokok pangkalnya adalah kawalan kendiri. Setiap paparan penonton perlu menilai selain melihat mesej yang diketengahkan,” katanya ketika ditemui di majlis pelancaran kempen SocialCeleb di PJ Pac, baru-baru ini.
Dalam masa sama, pelakon filem The Experts itu mendedahkan dirinya kerap dihubungi ibu bapa mangsa buli yang terkesan akibat masalah tersebut demi membanteras isu terbabit.
“Ada ibu bapa hubungi saya minta bantuan. Kita tolong setakat termampu dengan berjumpa pelajar terbabit yang menjadi mangsa buli, dengar masalahnya dan bagi nasihat.
“Sebenarnya saya dah banyak buat cuma tak uar-uarkan saja. Saya ke sekolah mangsa buli dan cakap individu itu ‘anak buah’ saya walaupun dia anak kawan.
“Apabila saya buat macam itu barulah ada usaha untuk ambil tindakan dan mula ambil kisah masalah dihadapi mangsa berkenaan,” ujarnya.
Tambah Aaron, dia juga pernah berdepan dengan seorang pelajar yang mengalami gangguan emosi sehingga membawa pisau ke sekolah demi mempertahankan diri dari terus dibuli.
“Ada seorang pelajar itu, dia tidur dengan pisau sampai ibu bapanya telefon minta saya bantu. Kami berborak dan saya suruh belajar Muay Thai. Sekarang dia makin berkeyakinan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Aaron kini terpilih untuk menjadi star mentors atau mentor selebriti bagi platform pencarian bakat digital, SocialCeleb yang mula dibuka kepada calon peserta pada 9 September ini.
Berminat untuk menyertai projek yang menyediakan input menerusi gabungan bengkel, bimbingan mentor berpengalaman dan pendedahan kepada projek industri sebenar boleh mendaftar di www.social-celeb.com.