Badrul Hisham bawa pulang RM10,000 selepas naikkan keli Afrika 10.620kg

Badrul Hisham bawa pulang RM10,000 selepas naikkan keli Afrika 10.620kg

keli
Badrul Hisham Mustafa (tengah0 muncul juara Cabaran Joran Selangor 2025 anjuran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bersama Kembara Media Events dengan sokongan Tourism Malaysia di Petaling Jaya baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
PETALING JAYA: Lebih 600 kaki pancing dari seluruh negara berhimpun di Tasik Bandaraya Kelana Jaya bagi menyertai Cabaran Joran Selangor 2025, semalam.
Pertandingan anjuran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bersama Kembara Media Events dengan sokongan Tourism Malaysia itu menerima penyertaan daripada pemancing dari Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Kuala Lumpur dan Selangor.
Sambutan menggalakkan itu sekali gus membuktikan daya tarikannya sebagai acara rekreasi popular dalam kalendar pelancongan tempatan.
Menurut Timbalan Datuk Bandar Petaling Jaya, Aznan Hassan, penganjuran kali ini bukan sahaja meriah dengan penyertaan, malah berjaya mencapai matlamat lebih besar dalam usaha merancakkan pelancongan domestik sempena Tahun Melawat Selangor 2025 dan Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Cabaran ini bukan sekadar pertandingan memancing, tetapi usaha bersama mengurangkan spesies ikan larangan di tasik awam serta mendidik masyarakat tentang kepentingan menjaga keseimbangan ekosistem,” katanya.
Walaupun hujan renyai sejak awal pagi, pertandingan tetap berlangsung meriah dan peserta tidak patah semangat memburu tangkapan terbaik.
Gelaran juara dimenangi oleh Badrul Hisham Bin Mustafa, 53, dari Kajang, selepas berjaya menaikkan seekor Keli Afrika seberat 10.620 kilogram pada jam 11.13 pagi. Beliau membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 dan menjadi satu-satunya peserta dengan tangkapan melebihi 10 kilogram.
Naib juara disandang oleh Azhari Azizol Omar, 28, dari Sungai Besi, Kuala Lumpur yang menaikkan Kap Rumput seberat 5.865 kilogram pada jam 11.38 pagi, sekali gus meraih hadiah wang tunai RM3,000. Tempat ketiga pula milik Ahmad Khairol Nizam Bin Mohamad, 48, dari Lembah Subang, Petaling Jaya dengan tangkapan Kap Rumput seberat 5.725 kilogram pada jam 9.52 pagi, membawa pulang RM1,000.
Sepanjang pertandingan, spesies Kap Rumput mendominasi kedudukan 10 teratas. Namun, beberapa spesies lain turut berjaya dinaikkan seperti Haruan, Baung, Lampam, Tilapia, Peacock Bass (Peacook) dan Keli Afrika. Secara keseluruhan, lebih 252 ekor ikan berjaya direkodkan, tetapi kelibat spesies Patin gagal muncul, sekali gus menimbulkan tanda tanya dalam kalangan kaki pancing.
Selain Tasik Kelana Jaya, dua lagi lokasi iaitu Tasik Aman dan Tasik Jaya turut dikenal pasti sebagai tasik komuniti dan tarikan pelancongan setempat yang berpotensi untuk dimajukan.
Aznan berkata, MBPJ berhasrat memperkasakan tasik-tasik di Petaling Jaya dengan konsep aktiviti air, riadah keluarga serta memberi penekanan kepada aspek kebersihan dan kelestarian. Katanya, usaha ini bertujuan menjadikan tasik bukan sahaja lokasi memancing, malah destinasi rekreasi keluarga yang bersih, indah dan mesra alam.
Rata-rata peserta menzahirkan kepuasan hati dengan penganjuran kali ini dan berharap ia diteruskan sebagai acara tahunan. Semangat mereka jelas membuktikan bahawa Cabaran Joran Selangor 2025 bukan sekadar pertandingan memancing, sebaliknya sebuah program yang mampu menyatukan komuniti, memelihara alam sekitar dan menyokong pembangunan pelancongan tempatan.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN