KUALA LUMPUR: Demi keselamatan dan kebajikan anak-anak, penyanyi dan pelakon, Zack X-Factor, sanggup mengambil keputusan besar untuk menjadi suri rumah sepenuh masa selepas mendapati tubuh anaknya mempunyai kesan lebam ketika dihantar ke sebuah pusat jagaan.
Zack atau nama sebenarnya, Zachery Francis Abu, 48, berkata, insiden itu berlaku dua tahun lalu dan sejak itu beliau memilih untuk mengutamakan keluarga meskipun terpaksa menolak pelbagai tawaran lakonan.
“Saya pernah hantar anak ke pusat jagaan, tapi bila balik saya nampak ada kesan lebam. Saya dan isteri berbincang panjang sebelum saya buat keputusan untuk korbankan kerjaya demi menjaga anak-anak.
“Pada awalnya memang berat hati nak lepaskan peluang berlakon sebab kita tak tahu apa akan jadi pada masa depan.
“Tapi, Alhamdulillah, kami bernasib baik sebab isteri seorang anggota tentera dan kami tinggal di kem tentera. Jadi, soal tempat tinggal bukan masalah,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia pada Konsert Elite Live ’25, baru-baru ini.
Tambahnya, beliau sudah terbiasa dengan kehidupan di dalam kem memandangkan bapanya dahulu juga merupakan anggota tentera udara.
Mengulas lanjut, Zack mengakui bahawa tugas sebagai suri rumah bukan satu tanggungjawab mudah, apatah lagi apabila berdepan dengan kerenah anak yang sukar dikawal.
“Jaga anak 24 jam bukan senang, pada saya keluar bekerja lebih mudah. Sebab itu, kalau pasangan kita jaga anak, hargailah mereka. Memerlukan tahap kesabaran yang sangat tinggi, kalau tak, boleh berlaku perkara yang tidak diingini.
“Pengalaman ini buat saya lebih menghargai peranan ibu bapa yang menjaga anak sepenuh masa,” ujarnya.
Meskipun menjadi suri rumah sepenuh masa bukan sesuatu yang lazim bagi golongan lelaki, Zack berkata beliau tidak ambil peduli pandangan orang kerana yakin keputusan itu adalah yang terbaik untuk keluarganya.
“Saya tak kisah apa orang nak kata sebab ini peluang saya tengok anak membesar depan mata. Tawaran berlakon memang banyak, tapi saya terpaksa tolak.
“Pernah satu ketika, saya dapat tawaran berlakon, tetapi terpaksa urus anak juga. Shooting dari pagi sampai malam, saya pula kena ambil anak. Situasi itu akhirnya membebankan kru dan produksi.
“Jadi saya fikir, biarlah saya berkorban sekarang. Bila sampai masa yang sesuai, saya akan kembali aktif dalam bidang seni,” katanya. -UTUSAN