ASEAN, Korea Selatan sepakat tambah baik perjanjian perdagangan bebas - Utusan Malaysia

ASEAN, Korea Selatan sepakat tambah baik perjanjian perdagangan bebas

TENGKU Zafrul Abdul Aziz (tengah) diiringi oleh Menteri Perdagangan Korea Selatan, Yeo Han-Koo (enam kiri) bergambar bersama barisan delegasi dari negara-negara ASEAN ketika Perundingan Asean Economic Ministers - Republik of Korea (ROK) sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-57 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini hari ini. UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: ASEAN dan Korea Selatan bersetuju untuk untuk memuktamadkan skop bagi Perjanjian perdagangan bebas (FTA) baharu antara ASEAN-Korea supaya pemimpin dapat mengumumkan FTA tersebut pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada bulan depan.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, perundingan tersebut turut bincang tentang kerjasama ekonomi, bidang rantaian bekalan serta berhubung soal semikonduktor. 

“Kami juga bercakap tentang bahagian yang kami boleh melakukan pertukaran perdagangan.

“Dan akhirnya, kami juga berbincang tentang geopolitik, geoekonomi serta bagaimana ASEAN dan Korea Selatan perlu meningkatkan kerjasama dalam bidang perdagangan dan pelaburan,” katanya kepada pemberita selepas Perundingan AEM-Republik Korea Selatan (ROK) ke-22.

Perundingan itu diadakan sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-57 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini.

Terdahulu, Tengku Zafrul dalam ucapan pembukaan perundingan itu berkata, Korea Selatan adalah satu daripada rakan kongsi strategik terdekat ASEAN dengan hubungan ekonomi terus rapat dengan pesat. 

“Jadi aliran pelaburan adalah sama menggalakkan dan perkongsian kami juga diperkaya dengan hubungan rakyat dengan rakyat yang kukuh.

“Berjuta-juta rakyat Korea Selatan mengembara, belajar dan menjalankan perniagaan merentasi ASEAN setiap tahun, membina jambatan yang melangkaui angka dan dasar,” ujarnya.

Beliau berkata, hubungan ini mengukuhkan dengan pelancaran Perkongsian Strategik Komprehensif ASEAN-ROK pada Oktober 2024 yang telah membawa kepada era baharu dalam hubungan tersebut.

Jelasnya, rangka kerja tersebut memberikan hala tuju untuk bekerja lebih rapat dalam bidang yang sedang berkembang seperti ekonomi digital, peralihan hijau dan rantaian bekalan yang berdaya tahan, memastikan kerjasama ASEAN dan Korea Selatan kekal relevan, bersedia untuk masa hadapan dan saling menguntungkan.

Sementara itu, Menteri Perdagangan Korea Selatan Yeo Han-Koo berkata, hubungan perdagangan dengan rantau ini semakin erat dan ASEAN adalah rakan dagangan kedua terbesar Korea, selepas China.

“Trend ini terus kukuh. Korea dan ASEAN mempunyai banyak kerjasama pelbagai lapisan melalui perjanjian perdagangan bebas Korea-ASEAN dan juga beberapa pengaturan perdagangan dua hala dengan beberapa negara anggota.

“Saya tidak sabar untuk membincangkan prospek proses perjanjian perdagangan bebas ASEAN-Korea dan juga beberapa rundingan perdagangan bebas dua hala kami yang sedang berlangsung antara Korea dan beberapa negara anggota,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN