KUALA LUMPUR: ASEAN dan Hong Kong-China kini meneliti kerjasama di bawah Ecotech Work Programme serta cadangan penyambungan sistem pintu tunggal (single window) bagi meningkatkan fasilitasi perdagangan.
Sejak pemeteraian Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-Hong Kong, China (AHKFTA) dan Perjanjian Pelaburan ASEAN-Hong Kong, China (AHKIA) hubungan ekonomi ASEAN berkembang pesat berasaskan komitmen bersama terhadap perdagangan yang terbuka, inklusif dan berasaskan peraturan.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, usaha itu penting bagi memastikan perjanjian berkenaan kekal relevan, mesra perniagaan dan berpandangan jauh.
“Selain itu, kita juga bertukar pandangan mengenai perkembangan ekonomi serantau dan global serta membincangkan hala tuju masa depan kerjasama ASEAN-Hong Kong-China.
“Memandangkan perubahan dinamik perdagangan global, daya tahan rantaian bekalan dan kepantasan transformasi digital, adalah penting agar perkongsian ini terus berkembang demi manfaat perniagaan dan komuniti serantau,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Perundingan AEM-Hong Kong-China ke-9 sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-57 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini hari ini.
Beliau berkata, Hong Kong-China kekal sebagai rakan penting ASEAN, bukan sahaja sebagai pintu masuk ke pasaran global, malah sebagai sumber pelaburan dan kepakaran dalam kewangan, logistik serta perkhidmatan.
Pada 2024, jumlah perdagangan dua hala ASEAN-Hong Kong-China mencecah AS$132.5 bilion (RM559.3 bilion), menjadikan Hong Kong-China rakan dagang ketujuh terbesar ASEAN.
Eksport ASEAN ke Hong Kong-China bernilai AS$112.1 bilion (RM473.2 bilion), manakala import berjumlah AS$20.5 bilion (RM86.5 bilion), sekali gus mengukuhkan peranan Hong Kong-China sebagai pintu masuk utama produk ASEAN ke pasaran global, khususnya dalam sektor bernilai tinggi dan eksport semula.
Selain itu, Hong Kong-China juga merupakan sumber pelaburan langsung asing (FDI) keenam terbesar ASEAN.
“Ini mengukuhkan kedudukan Hong Kong-China sebagai pelabur boleh dipercayai berasaskan inovasi, dengan sumbangan kukuh dalam perkhidmatan kewangan, logistik, pembuatan maju dan industri berteknologi.
“Agenda hari ini turut memberi peluang menilai pelaksanaan AHKFTA dan AHKIA, termasuk kemajuan protokol pertama bagi meminda kedua-dua perjanjian itu,” ujarnya. – UTUSAN










