KUALA LUMPUR: ASEAN melihat semakan semula Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN-India (AITIGA) sebagai peluang untuk memodenkan serta menambah baik peruntukan sedia ada agar selaras dengan amalan perdagangan semasa.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ASEAN melihat proses semakan yang disasarkan siap tahun ini sebagai peluang mengambil iktibar daripada pengalaman lebih 30 tahun lalu, serta menaik taraf perjanjian dengan peruntukan yang menangani amalan perdagangan semasa.
“Ia juga bermakna menyelaraskan AITIGA dengan inisiatif seperti usaha integrasi ekonomi ASEAN dan dasar “Act East” India, supaya perjanjian perdagangan kita dapat melengkapi keterhubungan rantaian bekalan serantau yang lebih luas.
“Integrasi lebih erat menghantar mesej bahawa rantau ini percaya pada keterbukaan, keadilan dan manfaat bersama dalam perdagangan,” katanya pada Perundingan AEM-India ke-22 sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-57 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini.
AITIGA yang dimeterai pada 2009 dan berkuat kuasa pada 2010 menjadi tonggak utama hubungan perdagangan serta pelaburan ASEAN-India dengan pertumbuhan ketara sejak lebih sedekad lalu.
Sementara itu, Menteri bagi Perdagangan dan Perindustrian India, Jintin Prasada berkata, dari segi perdagangan, India kekal prihatin terhadap kemajuan yang terhad dalam semakan semula AITIGA, meskipun terdapat usaha berterusan.
Beliau berkata, perkara itu akan dibincangkan dengan lebih terperinci dalam mesyuarat Perundingan AEM-India ke-22 di AEM ke-57 yang diadakan secara tertutup itu.
Sebelum ini media melaporkan, ASEAN optimis perdagangan intra-ASEAN akan terus diperkukuh menerusi beberapa inisiatif baharu yang dijangka dimuktamadkan menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada akhir Oktober ini.
Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, antaranya menerusi pemeteraian Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA) dan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital (DEFA).
“Walaupun jumlah perdagangan ASEAN mencatatkan peningkatan, namun perdagangan dalam kalangan negara anggota kekal pada kadar yang agak stabil.
“Justeru, menjelang Oktober ini, pemeteraian kami berharap pemeteraian ATIGA dan Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-China, selain kesimpulan substantif bagi AITIGA serta DEFA akan melonjakkan perdagangan intra-Asean terutamanya melalui ATIGA dan DEFA,” katanya. – UTUSAN