KUALA LUMPUR: Operasi pengosongan di Kampung Sungai Baru, Kampung Baru di sini akan diselesaikan hari ini juga dengan cara apa sekalipun, kata Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus.
Fadil berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang mencetuskan provokasi sehingga mengganggu kelancaran operasi pengosongan.
Katanya, beliau yang mengetuai operasi penguatkuasaan perintah milikan kosong membabitkan 26 pemilik individu dengan 37 unit rumah teres akan bertindak tanpa sebarang kompromi sekiranya terdapat cubaan menentang arahan mahkamah itu.
“Pengosongan ini perlu dibuat hari ini, apa cara sekalipun. Kalau ada pihak yang sengaja mencetuskan kekacauan, saya akan lawan habis-habisan. Saya tidak akan benarkan perkara seperti ini berlaku.
“Tindakan mencederakan pegawai saya dengan membaling objek adalah perkara yang saya cukup marah. Keadaan ini tidak sepatutnya berlaku kerana kita hanya melaksanakan undang-undang,” katanya dalam sidang akhbar di lokasi operasi.
Fadil berkata, Ketua Polis Daerah Dang Wang, Asisten Komisioner Suzilme Affendy Sulaiman mengalami kecederaan dan sedang dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) manakala seorang penduduk pula difahamkan mengalami kecederaan ringan.
Dalam pada itu, beliau tidak menolak wujud penglibatan pihak luar yang hadir ke kawasan operasi dan cuba menimbulkan huru-hara.
“Malah, penduduk sendiri mengatakan ada orang luar yang buat benda-benda begini. Itu yang kita tidak mahu berlaku. Semua pihak perlu faham ini adalah proses undang-undang, bukan tindakan sesuka hati,” katanya.
Katanya, polis bersama agensi berkaitan akan membantu penduduk yang mempunyai kesukaran berpindah termasuk golongan warga emas.
Setakat tengah hari, keadaan masih terkawal, namun polis menegaskan tiada toleransi kepada mana-mana pihak yang berdegil atau melanggar undang-undang sepanjang operasi berlangsung. – UTUSAN