BUKIT MERTAJAM: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa negara-negara Islam agar terus kuat dalam mendepani kezaliman oleh rejim Zionis Israel ketika ini.
Menurut Anwar, gesaan itu dibuat sekali lagi ketika beliau menghadiri Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab-Islam di Doha, Qatar, semalam.
“Saya mewakili Malaysia. Tapi, saya bagi pandangan yang tegas. Saya mewakili semangat pendekar silat Madani, mewakili semua guru-guru silat yang ada di sini.
“Saya kata, dunia Islam mesti kuat. Kuat dari (segi) ‘rumah tangga’ kita, kuat negara kita, kuat ekonomi, kuat semangat, kuat roh Islam, kuat akhlak dan kuat pertahanan negara masing-masing.
“Kita kena bina kekuatan ini. Saya kata ini dalam ucapan depan raja-raja dan ketua-ketua negara Arab, negara Islam satu dunia. Saya katakan (bahawa) jangan kita akui, jangan kita ada hubungan diplomatik dengan Israel sama sekali dan jangan berdagang jangan berkawan kepada negara zalim yang menindas rakyat.
“Nak tahu kenapa saya berani bicara begitu? Kerana saya mewakili rakyat Malaysia dan kerana saya juga di antara yang dilatih oleh guru-guru besar (seni persilatan) ini. Semangat, roh perjuangan Islam dan Melayu mesti kita bawa (bersama),” katanya.
Beliau berkata demikian pada Himpunan Pendekar Madani yang dihadiri oleh kira-kira 10,000 pesilat dari seluruh negara di Politeknik Seberang Perai (PSP) di sini, hari ini.
Semalam, Anwar menghadiri sidang kemuncak itu atas jemputan Emir Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al-Thani susulan serangan Israel terhadap Doha, baru-baru ini.
Selain Malaysia, sidang kemuncak itu turut dihadiri pemimpin negara-negara Islam termasuk Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan; Presiden Palestin, Mahmoud Abbas dan Raja Jordan, Raja Abdullah II Al Hussein. – UTUSAN











