PETALING JAYA: Bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa perlu sekurang-kurangnya memegang jawatan sebagai Ahli Jawatankuasa Pas Pusat sekiranya berhasrat untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.
Pensyarah Pusat Perdana, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Madya Dr. Mazlan Ali berkata, meskipun Annuar merupakan tokoh politik yang berpengaruh dan berpengalaman di Kelantan, latar belakang beliau sebagai bekas pemimpin UMNO menimbulkan cabaran dalam kalangan kepimpinan dan akar umbi Pas.
Malah katanya, beliau perlu melalui proses dalaman di peringkat parti terlebih dahulu untuk membuktikan sokongan terhadapnya.
“Walaupun beliau kini mahu membantu Pas dan menyatakan kesediaan untuk bertanding, beliau perlu melalui proses dalaman parti termasuk memegang jawatan dalam barisan kepimpinan terlebih dahulu.
“Tidak menjadi kesalahan untuk beliau bertanding jawatan yang lebih tinggi seperti Timbalan Presiden, namun langkah pertama adalah mendapat tempat dalam Ahli Jawatankuasa PAS Pusat,” katanya kepada Mingguan Malaysia semalam.
Sebelum ini, Annuar berkata, beliau tidak berhasrat untuk merebut sebarang jawatan dalam Pas menjelang pemilihan pasti yang berlangsung pada 11 September nanti.
Beliau berkata, tumpuannya sekarang ialah pada mahu berkhidmat sepenuhnya kepada parti dan menolak sendiri pencalonan berkenaan.
Dalam pada itu Mazlan berkata, Pas merupakan sebuah parti yang mempunyai struktur dan disiplin organisasi yang tersendiri, serta sangat mementingkan kesetiaan dan keserasian dengan budaya politik parti.
“Annuar juga perlu mendapat lampu hijau dari pucuk pimpinan Pas. Melobi menjadi calon juga dilihat bukan budaya Pas,” jelasnya. – UTUSAN










