KANGAR: Seorang anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri ini direman tujuh hari bermula hari ini sehingga Selasa depan bagi membantu siasatan melibatkan kes salah guna kuasa dan jawatan.
Majistret Ana Rozana Mohd Nor mengeluarkan perintah reman itu selepas permohonan dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Kangar di sini hari ini.
Menurut sumber, suspek berusia 49 tahun itu ditahan selepas dipercayai menyalahgunakan kuasa dengan meminta wang sewaan tanah sawah padi yang merupakan sebahagian daripada tanah bangunan milik jabatan kerajaan di Simpang Empat, di sini.
“Suspek telah berjumpa dengan seorang pengusaha untuk menguruskan sawah itu dengan mengambil sewaan semusim sebanyak RM3,000 untuk tempoh selama empat musim. Tindakan ini telah dilakukan sejak tahun 2023 dan jumlah keseluruhan pembayaran sewaan diterima adalah sebanyak RM12,000,” katanya.
Sebagai rekod, anggota di jabatan penyelamat itu juga pernah direman SPRM pada awal tahun lalu berkaitan dengan kes tuntutan palsu mencecah RM30,000.
Mengulas lanjut, sumber berkata, berdasarkan prosedur, suspek sewajarnya merujuk terlebih dahulu jabatan kerajaan terlibat dan Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) sebelum mengutip sewaan tersebut.
“Transaksi pembayaran sewaan itu juga dipercayai dilakukan secara tunai kepada suspek melibatkan tanah berkeluasan kira-kira dua hektar,” katanya.
Tambahnya, suspek ditahan sekitar pukul 4 petang semalam selepas hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM negeri.
“Siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM kerana menyalahgunakan kuasa dan jawatan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Perlis, Mohd. Nor Adha Ab Ghani mengesahkan penahanan suspek. – UTUSAN










