Anak tanya saya, siapa Mat Yam? - Amerul Affendi - Utusan Malaysia

Anak tanya saya, siapa Mat Yam? – Amerul Affendi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon, Amerul Affendi mengakui tebal muka apabila peminat memanggilnya dengan karakter ikonik dalam filem Polis Evo, Mat Yam di hadapan anak-anak.

Jelas Amerul atau Mohd Amerul Affendi Mohd Mawardi, 38, dia harus menerangkan perkara itu ketika ditanya anak-anak memandangkan filem itu ditayangkan pada 2015, sebelum mereka lahir.

“Perkara jadi memalukan bila saya keluar dengan anak tiba-tiba ada orang panggil saya Mat Yam, anak saya akan toleh dan tanya saya ‘siapa Mat Yam?’ sebab mereka tak tahu, waktu cerita keluar mereka belum ada.

“Saya jelaskan ia watak saya dalam Polis Evo yang sampai hari ini pun mereka belum tengok,” katanya ketika ditemui di Polis Evo Wonda-Ful 10 Years, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Festival Filem Malaysia ke-27 itu juga tidak menafikan watak Mat Yam disayangi ramai dan membekas dalam ingatan penonton hingga hari ini.

“Kalau nak diikutkan watak sebegini orang akan benci, tapi tak tahu kenapa untuk karakter ini orang sayang pula tak tahulah kenapa.

“Dalam cerita Polis Evo, semua kerakter ganas tiba-tiba ada satu bunga yang tak berapa menjadi ada di situ,” tambahnya.

Selepas 10 tahun francais Polis Evo menemui penonton, penerbit, Astro Shaw hadir dengan drama bersiri ‘spin-off’ Polis Evo mengetengahkan karakter Mat Yam.

Jelas Amerul, ini merupakan kali terakhir dia akan melakonkan karakter lelaki lembut dalam menerusi drama bersiri Evo: Mat Yam.

“Saya baru tahu watak Mat Yam jadi watak utama dalam siri ini nanti, mungkin setelah 10 tahun drama ini akan jadi hadiah kepada peminat Polis Evo yang mereka boleh tonton di rumah.

“Ini akan jadi satu-satunya watak yang tidak akan saya buat di tempat lain, asalnya saya dapat watak ini pun sebab kena ‘scam’ dengan produksi.

“Sekarang terpaksa teruskan, atas pemintaan ramai, saya layan lagi,” katanya berseloroh.

Bagaimanapun, Amerul berharap drama yang belum didedahkan tarikh tayangannya ini akan dapat memberikan pengajaran kepada penonton.

“Harap karakter ini akan beri pengajaran yang bagus kepada anak saya dan juga anak orang lain.

“Juga drama ini mengingatkan penonton bahawa jika ada orang anggap kita lemah, kita tetap berguna kepada masyarakat,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN