KUALA LUMPUR: Penyanyi negara seberang, Nabila Maharani memaklumkan dia tidak pernah terfikir untuk meninggalkan aktiviti nyanyian di jalanan (busking) meskipun sudah bergelar artis rakaman.
Kata penyanyi yang berasal dari Yogyakarta itu, malah dia kini semakin kerap menghiburkan dan menyantuni peminatnya menerusi aktiviti tersebut.
“Saya membesar dan mencari pendapatan dengan menyanyi di jalanan, jadi saya tidak akan tinggalkan lapangan tersebut.
“Penerimaan penonton juga sentiasa memberangsangkan, selalu positif.
“Jadi saya tak kisah. Meskipun sudah bergelar artis rakaman, saya akan terus menyanyi di jalanan,” katanya.
Nabila berkata demikian pada pelancaran dan sidang media single duetnya bersama penyanyi dan pelakon Eira Syazira, 41, berjudul Bawang Merah Bawang Putih, semalam.
Nabila dalam pada itu menyifatkan kerjasama dengan Eira sebagai hasrat yang menjadi kenyataan.
Katanya, hal tersebut kerana dia sebelum ini tidak berpeluang berduet bersama penyanyi wanita.
“Projek duet ini asalnya telah dicadangkan oleh suami kami masing-masing.
“Saya pula sebelum ini selalu berduet dengan penyanyi lelaki. Belum pernah merakamkan lagu dengan penyanyi wanita. Jadi ini adalah yang pertama buat saya.
“Saya sangat gembira kerana kami serasi dan sangat mudah untuk bekerjasama,” kongsinya lagi. – UTUSAN