Tiada sekatan terhadap mana-mana ahli akademik Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk mengeluarkan pandangan atau kenyataan secara terbuka, asalkan ia dibuat berdasarkan konteks kepakaran masing-masing dan secara bertanggungjawab.
Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Dr. Anesee Ibrahim berkata, golongan profesional itu diberikan kebebasan menyuarakan pandangan mereka berasaskan penyelidikan dan pengalaman ilmiah, namun dalam masa yang sama perlu mengekalkan etika serta tanggungjawab sebagai penjawat awam.
“Sebelum ini memang ada suara-suara yang menyatakan kerisauan dan kegusaran dalam kalangan pensyarah dan profesor di universiti-universiti awam, mereka agak gusar dan takut untuk memberikan pandangan. Mungkin mereka takut akan melanggar peraturan yang menyatakan penjawat awam tidak dibenar untuk mengeluarkan kenyataan awam tanpa kebenaran menteri.
“Tetapi Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir telah memberi penjelasan dalam Parlimen bahawa peraturan sedia ada ini langsung tidak mengekang para profesor kita sebenarnya untuk mengeluarkan pernyataan awam asalkan dalam konteks yang betul,” katanya dalam wawancara bersama Utusan Pelajar baru-baru ini.
Beliau turut menjelaskan bahawa pernyataan awam di bawah Peraturan 18 Akta Badan-Badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000 [Akta 605] tidak bermatlamat untuk menyekat suara para ilmuwan, sebaliknya memastikan sebarang kenyataan dikeluarkan tidak menyanggahi dasar-dasar kerajaan atau menjejaskan integriti institusi.
Menurutnya, KPT telah mengeluarkan satu surat pekeliling berkuatkuasa 1 Ogos lalu kepada semua universiti awam yang memperincikan garis panduan agar tidak timbul kekeliruan dalam kalangan pensyarah.
“Menteri telah meminta kita untuk mengeluarkan satu surat kepada semua universiti awam di mana surat ini memperjelaskan lagi kedudukan dan peraturan. Secara umumnya, surat itu menjelaskan semua pensyarah kita dibenar untuk mengeluarkan sebarang pernyataan atau maklumat dalam konteks kepakaran masing-masing.
“Tidak timbul isu kerajaan mengekang mereka ini untuk mengeluarkan pernyataan awam, selagi mana pernyataan yang dikeluarkan itu adalah berdasarkan penyelidikan akademik, kepakaran bidang atau kajian yang dibuat dalam konteks ilmu yang mereka ada.
“Asalkan jangan gunakan saluran itu untuk ‘condemn’ atau merendahkan dasar-dasar kerajaan. Selagi mana perkara tersebut dibincangkan dalam konteks akademik, berdasarkan kepakarannya atau konteks penyelidikan, ia tidak akan menimbulkan isu. Jadi mereka bebas sebenarnya untuk mengeluarkan pernyataan asalkan dalam konteks kepakaran masing-masing,” ujarnya.
Sejak surat pekeliling itu dikeluarkan, Anesee berkata, pihaknya tidak menerima sebarang aduan setakat ini berhubung pelanggaran skop kebenaran dalam kalangan ahli akademik.
Kata beliau, ini kerana ketakutan atau kegusaran untuk bersuara sebenarnya dapat diatasi jika kenyataan tersebut dibuat dengan niat berkongsi ilmu dan bukannya bersifat provokasi atau menjatuhkan kerajaan.
“Sejak kita keluarkan surat itu, saya tidak dengar sebarang isu lagi. Tiada orang buat aduan setakat ini, tiada yang sampai kepada saya. Saya fikir surat tersebut telah memperjelas keadaan dan saya boleh katakan bahawa para pensyarah kita gembira dengan adanya surat itu kerana ia jelas, you know what to do, di mana hadnya, apa yang boleh dibuat itu jelas,” katanya.
Menyentuh mengenai analisis ahli akademik dalam hal berkaitan politik, Anesee berkata, KPT tidak pernah menyekat pandangan ilmiah oleh pakar-pakar dalam bidang sains sosial, asalkan ia tidak melanggar tatacara perkhidmatan.
“Kalau bidang dia sains sosial dan minta pandangan dalam bidang dia, boleh, ia tidak timbul isu. Kita beri contoh, di televisyen sering keluar tokoh-tokoh akademik pensyarah. Pihak media kalau hendak cari pandangan-pandangan yang bernas tentang perkara ini, pensyarah lain pun boleh buat, cara menjelaskan isu,” katanya.
Pada masa sama, beliau turut menasihatkan mana-mana ahli akademik yang merasa ragu-ragu mengenai perkara tersebut, bolehlah merujuk terlebih dahulu kepada pihak universiti atau KPT sendiri sebelum membuat kenyataan kepada media.
Selain itu, katanya, KPT turut menyerahkan budi bicara kepada ketua jabatan di universiti untuk menilai kesesuaian kenyataan yang ingin dikeluarkan kakitangan mereka.
“Ketua Jabatan yang akan tentukan kerana perkara ini tidak akan sampai terus ke kementerian, jadi perkara begini kita serahkan tanggungjawab kepada ketua jabatan masing-masing,” katanya.
Universiti Terus Diperkasa Sebagai Pusat Pemindahan Ilmu
Dalam pada itu, Anesee berkata, kementerian akan terus memperkukuh peranan universiti awam sebagai pusat pemindahan ilmu, seiring peranan institusi itu sebagai pemangkin pembangunan negara.
Menurutnya, universiti tidak hanya berperanan melahirkan graduan, tetapi juga menjadi medan intelektual yang menyumbang kepada masyarakat melalui perkongsian kepakaran dan hasil penyelidikan.
“Kalau kita ingat semula, Perdana Menteri pernah menekankan berhubung perkara ini. Beliau mahu melihat penyelidikan yang dilaksanakan di universiti memberi manfaat secara langsung kepada komuniti.
“Sebelum ini, kita ada pandangan bahawa kerajaan beri duit kepada universiti untuk geran penyelidikan dalam jumlah yang banyak, berbilion ringgit. Jadi siapa dapat manfaatnya? Ada yang berpandangan penyelidikan di universiti ini tidak ke mana, dalam makmal dan tujuan akademik sahaja.
“Tetapi jika dilihat dengan teliti, banyak penyelidikan yang dilakukan di universiti awam ini, dimanfaatkan oleh komuniti dan inilah yang dimaksudkan sebagai memindahkan ilmu dari universiti kepada komuniti. Misalnya, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang mengambil inisiatif membantu para nelayan di Pasir Puteh untuk mengeluarkan produk ikan kering yang lebih berkualiti,” katanya.
Justeru, katanya, KPT akan terus menggalakkan universiti-universiti awam di negara ini untuk menggerakkan program-program seperti Living Labs yang menjadikan komuniti sebagai rakan kongsi projek penyelidikan, Knowledge Transfer Program (KTP) yang telah memanfaatkan seramai 50,000 penerima sejak 2011 dan ‘universiti-komuniti engagament’ yang membangunkan penyelesaian setempat.
Ketika ditanya bagaimana kerjasama antara institusi pengajian tinggi (IPT) dan industri dapat terus diperkukuh, Anesee menjelaskan, setiap IPT mempunyai Industry Advisory Council untuk memberi input secara berterusan dan kementerian juga ada menyediakan dana padanan seperti dana Industry Matching Programme (IMaP) dan dana Public-Private Research Network (PPRN).- UTUSAN