KUALA LUMPUR: Persidangan Ketua Perisikan Pertahanan Ke-2 (AMICLC 2) dan Mesyuarat Perisikan Pertahanan ASEAN Ke-22 (AMIM 22) di sini yang berakhir hari ini memperkukuhkan lagi profesionalisme perisikan pihak terlibat melalui latihan bersama, pertukaran kepakaran dan pembangunan rangkaian komunikasi yang selamat.
Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Pertubuhan Perisikan Pertahanan Malaysia (MDIO) Kementerian Pertahanan, Leftenan Jeneral Datuk Mohd Razali Alias berkata, AMIM 22 menjadi mekanisme teknikal yang menyelaras perkongsian maklumat risikan, penilaian ancaman bersama dan koordinasi tindak balas terhadap cabaran keselamatan bersifat rentas sempadan.
“Fokus utamanya adalah ancaman keganasan, jenayah terancang dan ekstremisme,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, persidangan dua hari itu yang dianjurkan oleh MDIO bertemakan Kelestarian Kerjasama Perisikan ASEAN Yang Inklusif melibatkan 10 agensi perisikan pertahanan ASEAN.
“Ia telah mengukuhkan komitmen ASEAN dalam membina ekosistem risikan kolektif yang lebih responsif, telus dan berdaya tahan,” ujarnya.
Menurutnya, sidang dwi-platform itu berjaya menghimpunkan 10 agensi perisikan pertahanan dengan AMICLC-2 menyediakan ruang dialog strategik berprofil tinggi antara pemimpin perisikan pertahanan ASEAN membincangkan isu keselamatan serantau, cabaran tradisional dan bukan tradisional serta perkongsian pengalaman kritikal.
Katanya, ia menjadi wadah diplomasi ketenteraan yang memperkukuh persefahaman strategik, meningkatkan kepercayaan bersama dan membolehkan negara anggota memanfaatkan manfaat daripada pengalaman negara lain.
Tambahnya, penganjuran oleh Malaysia menegaskan peranan negara sebagai rakan strategik dan pemaju diplomasi pertahanan serantau.
“Sidang ini bukan sekadar memperkukuh keupayaan risikan kolektif ASEAN tetapi juga membina asas diplomasi perisikan pertahanan yang mampu menjamin kestabilan dan kepercayaan,” ujarnya. – UTUSAN