Aduan rakyat jadi barah jika tidak ditangani baik, rosak imej perkhidmatan awam

Aduan rakyat jadi barah jika tidak ditangani baik, rosak imej perkhidmatan awam

SHAMSUL AZRI ABU BAKAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Setiap aduan awam yang gagal ditangani boleh menjadi barah sehingga merosakkan imej perkhidmatan awam keseluruhannya.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar menegaskan, aduan yang tidak diurus dengan baik dan segera akan mudah tersebar terutama melalui media sosial seperti TikTok dan Facebook.

Sehubungan itu, katanya, ketangkasan setiap kementerian dalam menangani aduan rakyat bukan lagi pilihan, sebaliknya satu kemestian dalam mendepani landskap semasa negara.

“Atas dasar itu, maka pengurusan aduan yang baik perlulah diberikan penekanan. Biro Pengaduan Awam (BPA) selaku agensi utama yang menguruskan aduan dalam perkhidmatan awam hendaklah meneliti dan memastikan setiap aduan yang diterima dapat ditangani dengan baik oleh kementerian-kementerian.

“Salah satu kaedah adalah melalui naziran yang dijalankan. Kaedah ini dilihat dapat meningkatkan mutu pengurusan aduan dengan lebih baik,” katanya ketika berucap pada Majlis Apresiasi Penarafan Pengurusan Aduan Awam Kementerian Tahun 2025 anjuran BPA, Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.

Menurut beliau, maklum balas rakyat terhadap sistem penyampaian perkhidmatan awam adalah ukuran sebenar sama ada ia memenuhi ekspektasi atau sebaliknya.

“Oleh itu, aduan tidak boleh dipandang dari sudut negatif sahaja, tetapi perlu dilihat dari sudut yang positif. Aduan yang diterima mencerminkan kepuasan rakyat terhadap penyampaian perkhidmatan awam.

“Aduan juga memberi peluang untuk menambah baik penyampaian perkhidmatan. Kementerian yang mengambil serius aduan rakyat akan kekal relevan, manakala yang memandang ringan akan menjejaskan imej perkhidmatan awam,” tegasnya. –  UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN