SERDANG: Pengerusi Lembaga Tabung Haji, Tan Sri Abdul Rashid Hussain dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Perdana Maulidur Rasul 2025.
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan menyampaikan anugerah berkenaan pada Abdul Rashid pada Sambutan Maulidur Rasul SAW 1447H/2025 Peringkat Kebangsaan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di sini, hari ini.
Beliau yang juga Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu menerima wang tunai RM50,000, trofi, medal dan sijil penghargaan.
Pemilihan Abdul Rashid itu adalah berdasarkan sumbangan sosialnya dalam infrastruktur Islam di negara ini.
Beliau dikenali sebagai hartawan yang menyumbang secara besar-besaran dalam pembinaan beberapa masjid antaranya Masjid A’ishah Sungai Menghulu (Langkawi), Masjid Hussain Seremban 2 serta Masjid Sri Sendayan, Seremban.
Abdul Rashid turut meluahkan rasa syukur atas penghargaan yang diberikan terhadapnya.
“Saya bersyukur kepada Allah SWT dan saya harap dapat terus berbakti untuk kebaikan masyarakat,” katanya.
Enam lagi penerima anugerah Maulidur Rasul peringkat kebangsaan tahun ini, masing-masing menerima hadiah wang tunai RM30,000, medal dan sijil penghargaan.
Mereka ialah Sheikh Wazir Che Awang bagi Anugerah Agamawan/Kepimpinan Dakwah; pempengaruh dan usahawan, Khairul Amin Kamarulzaman dan Penolong Pesuruhjaya Bomba, Ismail Abdul Ghani bagi Anugerah Wira Negara.
Turut menerima anugerah adalah Pegawai Khas (Hal Ehwal Islam) Timbalan Menteri Hal Ehwal Islam Sarawak iaitu Dayang Nur’ Maisarrah Abang Abdul Razak bagi Anugerah Belia Harapan, Ketua Pegawai Eksekutif Wau Animation, Muhammad Usanah Zaid Yasin bagi Anugerah Pengkarya/ Inovator Kreatif serta pelakon, Ardini Angeline Tan bagi Anugerah Saudara Baru Cemerlang (Mualaf). UTUSAN










