550 unit CCTV di 18 fasiliti AADK seluruh negara

550 unit CCTV di 18 fasiliti AADK seluruh negara

RUSLIN JUSOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Kira-kira 560 unit kamera litar tertutup (CCTV) berteknologi tinggi akan dipasang di 18 fasiliti lokap berpusat Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK)  di seluruh negara.

Ketua Pengarah AADK, Datuk Ruslin Jusoh berkata, pemasangan itu bertujuan meningkatkan ketelusan pengoperasian, mencegah insiden yang tidak diingini, meminimumkan kesilapan manusia (human error), serta mengadaptasi teknologi moden seperti kecerdasan buatan (AI) untuk pengawasan yang lebih cekap.

Katanya, pemasangan ini selaras dengan piawaian yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dan standard antarabangsa.

“Langkah  ini menunjukkan kesungguhan kerajaan khususnya Kementerian Dalam Negeri dalam memodenkan fasiliti tahanan AADK serta memastikan keselamatan dan pengurusan tahanan dijalankan dengan penuh integriti.

“Usaha ini juga selaras dengan pindaan Akta Penagih dan Penyalah Guna Dadah dan Bahan (Rawatan dan Pemulihan) 1983 yang telah dikuatkuasa pada 22 Ogos lalu,”katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, media melaporkan kerajaan bersetuju melaksanakan pemasangan sistem CCTV berteknologi tinggi di pusat tahanan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan lokap AADK di seluruh negara. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi hantaran di Facebook hari ini berkata, pelaksanaan itu merupakan inisiatif strategik kerajaan selaras dengan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS).

“Ia bagi memenuhi keperluan semasa agensi penguatkuasaan menghadapi cabaran keselamatan serta memperkukuh pemantauan terhadap kawasan tahanan,” kata beliau. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN