KUALA LUMPUR: Seramai 529 pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 Siri 3 Tahun 2025 melaporkan diri di dua kem Askar Wataniah yang dipilih bagi siri percubaan terakhir tahun ini.
Setakat pukul 12 tengah hari tadi, seramai 279 peserta lelaki ditempatkan di Kem 505, Pekan, Pahang, manakala 250 peserta wanita di Kem 515, Kuala Lumpur.
Kesemua pelatih berusia 18 tahun ke atas itu, yang digelar wira muda, merupakan kumpulan ketiga selepas dua siri terdahulu berjaya dilaksanakan tahun ini.
Mereka bakal mengikuti latihan bersepadu merangkumi aspek pembinaan jati diri, disiplin, semangat patriotik, kesukarelawanan serta asas ketenteraan ringan.
Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Ya’cob Samiran berkata, penyertaan kali ini bukan sahaja melibatkan belia yang dipilih melalui sistem pemilihan rawak (balloting) dalam kalangan mereka yang lahir pada 2007, tetapi turut menerima penyertaan secara sukarela dengan jumlah amat menggalakkan.
“Walaupun PLKN 3.0 masih pada peringkat percubaan selepas diperkenalkan semula tahun ini, sambutan positif dalam kalangan generasi muda menunjukkan keyakinan mereka terhadap program ini.
“Kehadiran 529 wira muda buktikan komitmen tinggi belia Malaysia menyahut cabaran mempertahankan tanah air, selain menyemai nilai kepimpinan, keberanian dan semangat setiakawan,” katanya. – UTUSAN










