41 dicekup ‘main perang’ guna senjata tiruan pada Hari Merdeka

41 dicekup ‘main perang’ guna senjata tiruan pada Hari Merdeka

SENJATA tiruan yang dibeli secara dalam talian dirampas dalam serbuan dilakukan di Padangan Hangus, Gebeng di Kuantan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Ketika negara meraikan sambutan Hari Kebangsaan Ke-68, seramai 41 lelaki ditahan selepas terlibat dalam permainan perang menggunakan senjata api tiruan jenis Air Soft Gun di Padang Hangus, Gebeng, di sini Ahad lalu.

Mereka diberkas dalam Op Laras dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Pasukan D9 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang dengan kerjasama unit khas Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Kuantan.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, serbuan bermula kira-kira pukul 3 petang yang mendapati 39 lelaki sedang mengikuti taklimat sebelum memulakan aktiviti ‘War Game’ di tanah rizab TLDM yang belum dibangunkan.

“Polis turut menahan dua lelaki lain di lokasi berasingan membabitkan pemandu Toyota Vellfire dan Proton X70 yang membawa pelbagai jenis senjata airsoft serta aksesori taktikal,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, di sini hari ini. 

Ashari berkata, keseluruhan rampasan membabitkan 406 unit barangan tiruan dengan anggaran nilai RM100,000.

“Antaranya 65 laras senapang, 32 pistol angin, 130 kelopak peluru, 28 vest, 40 topi keledar serta goggle, 22 bungkus peluru BB, 18 unit gas dan bateri serta 35 aksesori lain,” ujarnya.

Menurutnya, semua suspek berusia antara 21 hingga 66 tahun itu merupakan warga tempatan yang datang daripada pelbagai latar belakang kerjaya termasuk pesara tentera, anggota tentera, jurutera, guru, doktor fisioterapi, juruteknik, pekerja kilang, penjawat swasta serta pelajar.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 (Akta 206) kerana memiliki senjata api tiruan tanpa lesen atau permit sah. Sabit kesalahan, boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya sekali,” jelasnya.

Menurutnya lagi, siasatan turut dijalankan sama ada senjata tiruan terbabit yang dipercayai dibeli secara dalam talian boleh diubah suai bagi menggunakan peluru sebenar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×