PETALING JAYA: Seramai 27,674 pelajar ditawarkan kemudahan Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi sesi kemasukan ke institusi pengajian tinggi (IPT) tahun ini dengan jumlah peruntukan RM41.5 juta.
Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, kemudahan itu ditawarkan kepada pelajar warga Malaysia yang bersetuju menerima bantuan ketika membuat permohonan kemasukan ke IPT awam (IPTA) melalui UPUOnline atau portal kemasukan universiti awam (UA).
Katanya, syarat lain adalah ibu bapa atau penjaga pelajar perlu dalam kalangan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) serta memenuhi kriteria kelayakan ditetapkan.
“Setiap pelajar yang layak akan menerima RM1,500 sebagai persiapan awal memasuki universiti atau politeknik. Kemudahan ini membuktikan keprihatinan kerajaan dalam membantu meringankan beban kewangan pelajar pada peringkat awal pengajian.
“PTPTN sentiasa prihatin dengan kebajikan pelajar dan mahu mereka memulakan sesi pengajian tanpa kerisauan terhadap kos sara hidup atau pengajian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Norliza berkata, di Pulau Pinang sahaja, seramai 1,380 pelajar ditawarkan WPP dengan peruntukan RM2.07 juta, manakala bagi kawasan Bukit Gelugor, seramai 88 pelajar menerima tawaran berjumlah RM132,000.
“Syabas dan tahniah kepada semua pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian. Anda adalah harapan masa depan negara. Semoga bantuan ini meringankan langkah anda untuk menimba ilmu dan melahirkan graduan berkualiti,” katanya.
Beliau berkata, PTPTN akan terus memastikan tiada pelajar tercicir daripada pendidikan tinggi hanya kerana kekangan kewangan.
“Pelajar boleh membuat semakan tawaran WPP melalui aplikasi myPTPTN dan menunaikannya di kaunter Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) di seluruh negara mulai 24 September hingga 23 November 2025.
“Untuk itu, pelajar hanya perlu membawa surat tawaran WPP yang dicetak melalui aplikasi myPTPTN bersama MyKad. Wakil pelajar adalah tidak dibenarkan,” katanya.
Selain itu, pelajar yang ingin memohon pinjaman PTPTN selepas ini perlu memiliki akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) yang boleh dibuka melalui aplikasi myPTPTN.
Sejak WPP diperkenalkan pada 1999 hingga 31 Ogos 2025, seramai 990,646 pelajar telah menerima manfaat dengan jumlah peruntukan RM1.46 bilion. – UTUSAN










