PUTRAJAYA: Kerajaan akan meningkatkan sasaran sehingga 10,000 unit Program Rumah Mesra Rakyat (RMR) setahun mengambil kira jumlah permohonan sebanyak 13,502 yang masih menunggu tawaran.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, inisiatif itu dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk pihak swasta, kerajaan dan NGO mengambil kira jumlah permohonan yang tinggi.
Beliau berkata, status pelaksanaan rumah mampu milik di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) pula, sebanyak 98.8 peratus atau 493,874 unit rumah mampu milik telah disediakan sehingga 30 Jun lalu.
“Terdapat baki penyediaan 6,126 unit disasarkan untuk dicapai menjelang penghujung tahun ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, beliau menghadiri Mesyuarat Majlis Perumahan Mampu Milik Negara (MPMMN) Bil.1 2025, yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, bagi Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) pula, sebanyak 93,231 permohonan telah diluluskan dengan jumlah pembiayaan yang dijamin sebanyak RM22.138 bilion setakat 31 Julai 2025.
Katanya, sebanyak 67 peratus penerima adalah dalam kalangan pembeli rumah bernilai RM300,000 ke bawah, selari dengan agenda perumahan mampu milik kerajaan.
“Majoriti kelulusan diberikan kepada golongan B40 yang merupakan golongan sasar utama skim ini,” katanya.
Katanya, pihaknya komited dalam memastikan keperluan perumahan semua lapisan masyarakat khusunya golongan B40 dan M40 direalisasikan tanpa kompromi.
“KPKT juga sedang giat melaksanakan sesi libat urus bagi penggubalan akta baharu seperti Akta Sewaan Kediaman.
“Ini termasuk pindaan serta penambahbaikan kepada akta sedia ada iaitu Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 (Akta 118) dan Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757),” katanya. – UTUSAN