KUALA KRAI: Seramai 13 penumpang berdepan detik cemas apabila bas ekspres dinaiki mereka yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Kota Bharu, terbalik berhampiran Kampung Batu Balai, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 pagi itu, tiga individu termasuk pemandu mengalami kecederaan dan dibawa ke Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) Kuala Krai untuk rawatan lanjut.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Krai, Nik Ahmad Afsham Nik Pa berkata, kemalangan membabitkan sebuah bas ekspres yang dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan terbalik.
“Jumlah keseluruhan mangsa yang berada di dalam bas ketika kejadian adalah seramai 15 orang termasuk pemandu dan pembantu pemandu,”katanya ketika dihubungi di sini hari ini.- UTUSAN