KUALA LUMPUR: “Pada saat itu untuk bernafas sahaja sulit, saya seperti dipaksa, jadi apa yang saya buat ialah menulis, setiap hari saya menulis.”
Demikian luahan hati dari penyanyi tersohor Indonesia, Bunga Citra Lestari berkongsi kisah peribadi mengenai arwah suaminya, Ashraf Sinclair, dalam konsert Eternal Love Timeless Romance baru-baru ini.
Menyingkap kehidupannya selepas kehilangan Ashraf, BCL mengakui pada mulanya sangat berat diungkapkan namun dia memilih untuk menulis setiap hari sebagai terapi melawan rasa duka.
“Menulis menjadi cara saya melepaskan dan salah satu tulisan itu akhirnya dijadikan sebuah lagu. Itu kali pertama saya menulis lagu, mungkin itu jalan yang Allah berikan, sebuah kekuatan baru untuk saya.
“Saya rasa dipaksa pada saat itu, di saat kita sendiri belum bisa menemukan kedamaian dan keikhlasan untuk melepaskan seseorang yang begitu besar artinya, seseorang yang sudah mempunyai impak yang besar sekali di perjalanan hidup saya secara peribadi.” ujarnya.
Suasana menjadi hening dan penuh sebak saat BCL menyanyikan lagu 12 Tahun Terindah, ciptaan khas buat Ashraf.
Menurut penyanyi itu, lagu tersebut terlalu berat untuk didengarkan sendiri, namun demi menghargai peminat setia di Malaysia, lagu itu tetap dipersembahkan dengan penuh rasa.
BCL turut mengimbas kembali perkahwinan mereka yang bertahan selama 12 tahun. Bahtera yang dibina penuh warna, pertengkaran, kasih sayang dan itulah hakikat pahit manis sebuah rumah tangga.
Penyanyi Cinta Sejati itu juga sempat berseloroh, katanya, selalu berjuang untuk satu sama lain tetapi juga sering bertengkar antara satu sama lain.
“Itulah realitinya sebuah perkahwinan. Namun apa pun yang berlaku, selama 12 tahun, kami masih tetap jalani bersama-sama.” katanya sebak.
BCL yang tampil anggun di hadapan ribuan peminat, tidak dapat menahan rasa sebak apabila menyebut nama Ashraf serta mengakui kehadiran keluarga arwah yang turut sama hadir pada malam itu memberikan sokongan kepada dirinya.
Persembahannya pada malam itu bukan sekadar konsert biasa tetapi juga perjalanan seorang wanita yang belajar bangkit daripada kehilangan besar.
BCL menggambarkan dirinya kini seperti bunga yang akhirnya mampu mekar kembali dengan kekuatan baharu.
Sekadar makluman, BCL mendirikan rumah tangga bersama Ashraf Daniel Mohamed Sinclair pada 8 November 2008 dan dikurniakan anak, Noah, 15.
Jodoh mereka tidak berpanjangan apabila Ashraf meninggal dunia secara mengejut pada 18 Februari 2020 di kediaman pasangan itu di Jakarta, Indonesia.-UTUSAN