11 lokasi setiap parlimen di Kuala Lumpur laksana inisiatif sifar sisa

11 lokasi setiap parlimen di Kuala Lumpur laksana inisiatif sifar sisa

MAIMUNAH Mohd. Sharif pada Majlis Pelancaran Zon Sifar Sisa Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Jalan Raja Muda Abdul Aziz, Kuala Lumpur hari ini.-UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak 11 lokasi di setiap kawasan parlimen di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ditetapkan bagi pelaksanaan inisiatif menjayakan aspirasi Kuala Lumpur Ke Arah Sifar Sisa 2040.

Antara 11 lokasi itu termasuk Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di Bukit Bintang, Universiti Malaya di Lembah Pantai dan Taman Tasik Titiwangsa di Setiawangsa.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr. Maimunah Mohd. Sharif berkata, menerusi inisiatif itu sasaran pengurangan ditetapkan pada kadar 20:40 iaitu 20 peratus bagi sisa organik dan 40 bagi sisa bukan organik ke tapak pelupusan.

“Sasaran ini mencerminkan pendekatan holistik Kuala Lumpur dalam menguruskan cabaran sisa bandar melalui tiga strategi utama iaitu pengurangan sisa, amalan guna semula dan peningkatan kadar kitar semula.

“Walaupun sasaran ini dilihat mencabar, namun kami percaya ia mampu dicapai dengan perancangan rapi serta sokongan padu daripada semua pihak,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Zon Sifar Sisa Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini hari ini.

Tambah Maimunah, inisiatif tersebut turut diperluas dengan penggunaan sisa kaca bagi menggantikan sebahagian bahan tradisional dalam projek pembinaan infrastruktur bandar.

Katanya, ia dilaksanakan di Taman Tasik Titiwangsa menerusi penggunaan lebih 5,000 kilogram kaca terpakai bagi tujuan pembinaan dan landskap, termasuk menurap lot parkir, garisan jalan serta menulis semula nama taman berkenaan.

“Jadi di sini kita telah mula melaksanakan sifar sisa di Taman Tasik Titiwangsa. Kita telah mula merangkumi beberapa komponen penghasilan poduk mesra alam dan juga sisa kaca.

“Kalau kita pergi ke Tasik Titiwangsa, parking kita dibuat daripada kaca guna semula. Kita sudah menggunakan kaca guna semula untuk parking dan ini adalah satu inovasi penggunaan semula yang lebih baik berbanding tar biasa.

“Kalau ikutkan sebelum ini, kaca dianggap tidak mempunyai nilai, tetapi kini sudah ada syarikat yang mengambilnya untuk dijadikan bahan turapan lebih kukuh dan mesra alam,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN