105,890 kenderaan perdagangan belum buat pengesahan had kelajuan

105,890 kenderaan perdagangan belum buat pengesahan had kelajuan

ANTHONY LOKE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sejumlah 97.32 peratus atau 105,890 kenderaan perdagangan di negara ini dikesan masih gagal membuat pengesahan peranti had kelajuan (SLD) setakat 23 September lalu.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, jumlah itu meliputi 97,316 buah kenderaan perdagangan Berat Dengan Muatan (BDM) melebihi 3,500 kg masih gagal berbuat demikian, manakala sebanyak 8,674 buah pula melibatkan bas ekspress dan bas persiaran.

“Setakat ini, hanya 2,915 buah kenderaan perdagangan membabitkan bas ekpres dan persiaran atau 2.68 peratus telah membuat pengesahan SLD.

“Kami dapati 97 peratus (kenderaan perdagangan yang belum buat pengesahan SLD) ini sama ada mereka tak endah atau merasakan kami tak serius. Mereka sengaja nak mencabar tahap kesabaran kita,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Loke berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pengusaha atau pemilik kenderaan yang gagal membuat pengesahan pemasangan, konfigurasi dan pengaktifan SLD selepas tarikh penguatkuasaan iaitu pada 1 Oktober ini.

Menurutnya, pengesahan ini juga perlu diperbaharui setiap dua tahun bagi memastikan SLD berfungsi dengan baik.

Tiada kompromi akan diberikan selepas tarikh penguatkuasaan dikuatkuasakan sepenuhnya.

“Notis 114 (Notis Panggilan Temu Siasat) akan dikeluarkan terhadap mana-mana pemilik kenderaan yang gagal mematuhi ketetapan ini,” katanya.

Katanya, buat masa ini pemeriksaan SLD belum diwajibkan melalui Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) bagi mengelakkan gangguan rantaian bekalan.

Jelasnya lagi, pihaknya akan memulakan dengan penguatkuasaan di jalan raya dahulu, namun mengingatkan bahawa penguatkuasaan ini tidak akan kekal selama-lamanya kerana pemeriksaan di Puspakom juga mungkin diwajibkan pada masa hadapan.

Loke berkata, pihaknya kekal komited memastikan semua bas ekspres dan bas persiaran mematuhi keperluan SLD bagi mengelakkan pemandu memecut melebihi had laju.

“Kita tidak mahu tragedi seperti nahas bas UPSI di Gerik, Perak berulang akibat kelajuan berlebihan. SLD ini adalah langkah pencegahan yang mesti dipatuhi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN