10,000 hektar sawah Kedah boleh ditebus guna

10,000 hektar sawah Kedah boleh ditebus guna

DR. ISMAIL SALLEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALING: Kira-kira 10,000 hektar sawah di dalam kawasan jelapang padi Kedah dikenal pasti berpotensi untuk ditebus guna atau ditukar status kepada komersial bagi tujuan perumahan atau industri.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Datuk Dr. Ismail Salleh berkata, kawasan-kawasan itu kebanyakan terletak di sekitar Alor Setar dan Jitra, dekat sini hasil pemetaan yang dibuat pejabat daerah terlibat.

Bagaimanapun katanya, jumlah 10,000 hektar kawasan tanaman padi itu tidak akan dibangunkan secara serentak kerana proses pembangunan berjalan dari semasa ke semasa.

“Permohonan daripada kerajaan negeri melalui Menteri Besar dibuat sejak lawatan pertama Perdana Menteri lagi. Perdana Menteri kata beliau akan melihat permintaan itu dan kalau itulah hasrat maka berkuranglah kawasan MADA.

“Tetapi pada masa sama MADA juga telah mengambil langkah membesarkan kawasan sawah di luar jelapang, jadi kawasan yang berkurangan akan ditambah balik. Dengan ini kita juga dapat fokus kepada keterjaminan makanan negara,” katanya ketika ditemui pemberita semalam.

Beliau mengulas pengumuman Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memberikan kelonggaran kepada Kedah untuk mengurangkan kawasan sawah padi bagi tujuan pembangunan lain, seiring dengan tuntutan semasa tanpa menjejaskan peranan sebagai jelapang padi negara.

Perdana Menteri berkata, keputusan itu dibuat selepas perbincangan Kabinet dan hasil rundi­ngan bersama kepemimpinan negeri termasuk Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor ketika lawatan ke Kedah, sebelum ini.

Sementara itu, ujar Dr. Ismail, MADA sedang mendapatkan kira-kira 3,000 hektar tanah di luar jelapang untuk dijadikan kawasan tanaman padi yang sekaligus akan meningkatkan keluasan kawasannya kepada 103,000 hektar.

“Sekarang MADA memiliki 100,000 hektar sawah dan terdapat kira-kira 3,000 hektar lagi akan dijadikan kawasan MADA yang baharu. Pertambahan ini sama ada berlaku atau tidak penukaran sawah di jelapang padi.

“Maknanya kalau nanti tukar 3,000 hektar kepada komersial, keluasan kawasan MADA akan kembali kepada asal 100,000 hektar tetapi kalau tak berlaku penukaran atau proses itu masih lambat, maka kawasan kami bertambah kepada 103,000 hektar,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN