KUALA LUMPUR: Lebih 100,000 pengunjung dijangka membanjiri Anjung Malaysiaku Foodies Fiesta 2025 yang bakal berlangsung selama lima hari bermula 12 hingga 16 September ini.
Menurut Penganjur dan Pengarah Urusan Raydiates Blue Sdn. Bhd., Rayme Zainal, pelbagai program dalam tempoh tersebut diadakan termasuk larian yang dijangka disertai 1,000 peserta.
Katanya, terdapat dua kategori untuk acara larian iaitu tiga kilometer (km) dan lima km, selain acara kebudayaan, permainan tradisional dan gerai jualan makanan serta minuman.
“Larian ini diadakan untuk menggalakkan aktiviti sihat. Manakala aktiviti lain diadakan sebagai platform kepada masyarakat untuk berinteraksi bersama masyarakat pelbagai kaum bersempena Hari Malaysia nanti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Rayme berkata, program itu juga memberi peluang kepada produk usahawan tempatan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk diketengahkan.
“Sehingga kini, lebih separuh daripada keseluruhan lot telah pun ditempah dan kami yakin semua slot akan habis sebelum karnival bermula.
“Kami harap penganjuran fiesta ini bukan sahaja merancakkan ekonomi usahawan mikro dan PKS, malah menyatukan rakyat Malaysia menerusi makanan, budaya dan hiburan,” tambah Rayme. – UTUSAN