PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan berangkat menghadiri Istiadat Sambutan Negara sempena lawatan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah ke negara ini hari ini.
Keberangkatan tiba Sultan Hassanal Bolkiah yang diiringi Pengiran Muda Abdul Mateen Bolkiah disambut Sultan Ibrahim dan Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim.
Yang turut hadir, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim; Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dan beberapa orang menteri.
Istiadat sambutan negara yang diadakan di Anjung Utama Istana Negara itu dimulakan dengan lagu kebangsaan negara Brunei dan Malaysia oleh Pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja disusuli tembakan meriam 21 das dari 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja.
Sultan Hassanal Bolkiah turut berkenan mengadakan kunjungan mengadap bersama Sultan Ibrahim sebelum berangkat menyaksikan majlis persembahan cendera kenangan di Dewan Seri Maharaja.
Yang di-Pertuan Agong turut berkenan meraikan dan memberi penghormatan kepada Sultan Brunei serta delegasi dalam satu majlis Jamuan Negara di Dewan Santapan Utama
Lawatan Negara Sultan Brunei ke Malaysia merupakan yang ketiga selepas Presiden Republik Rakyat China dan Presiden Republik Indonesia sejak Sultan Ibrahim menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17.-UTUSAN