KUALA LUMPUR: Lantikan warden bagi Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dalam kalangan bekas polis dan tentera diharap dapat bertugas dengan sifat seperti ayah dan ibu kepada anak-anak di asrama.
Selebriti tanah air, Rita Rudaini berkata, mereka perlu menganggap pelajar-pelajar ini seperti anak sendiri dan mendidik mereka dengan nilai kasih sayang dalam ketegasan.
Ini kerana katanya, mendidik dengan cara kekerasan tidak menjamin anak-anak pada zaman sekarang untuk menjadi pelajar baik dan berdisiplin, malah mengikut peraturan yang ditetapkan.
“Didik lah mereka seperti anak sendiri, jadi sahabat mereka. Dalam tegas ada nilai kasih sayang, didikan yang keras tidak menjamin anak-anak zaman sekarang ikut.
“Tanamkan perasaan hormat mereka pada kita bukan perasaan takut. Bila mereka hormat seseorang, insya-Allah mereka akan jadi insan seperti yang kita mahukan,” katanya dalam ruangan komen pada hantaran Pengerusi Mara, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki mengenai pelantikan warden di MRSM, hari ini.
Kumpulan pertama warden-warden MRSM lantikan sepenuh masa dalam kalangan bekas-bekas polis dan tentera akan memulakan tugas di dua MRSM iaitu MRSM Besut dan MRSM Balik Pulau bermula Isnin ini.
Ia merupakan inisiatif terbaharu Mara untuk memastikan Isu buli dan kes-kes disiplin lain dapat dikekang di samping menjamin persekitaran pembelajaran di MRSM yang selamat dan sejahtera buat semua pelajar.
Rita yang juga mempunyai seorang anak belajar di MRSM Sungai Besar berkata, beliau menaruh harapan sangat besar ketika ‘melepaskan’ hidup anak di asrama berbanding hidup di rumah sendiri.
Justeru, katanya, lebih 60 peratus didikan di sana mempengaruhi minda anak-anak bermula dari Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima.
“Kalau keras didikannya, keras lah hati mereka. Kalau penuh kelembutan dan kasih sayang didikannya, insya-Allah mereka menjadi insan yang penuh rasa empati dalam diri,” katanya.
Pada masa sama, beliau meminta pihak Mara dapat melihat juga guru-guru yang ‘menyentuh’ pelajar-pelajar sehingga mencederakan dan ia juga boleh dianggap satu tindakan buli.
Katanya, jika ada dalam kalangan guru bertindak sedemikian, mereka juga sepatutnya ‘dibuang’ dari sistem pendidikan sebagaimana konsep sama diterapkan kepada pelajar-pelajar yang terlibat buli yang dikenakan tindakan buang sekolah atas prinsip ‘you touch you go’.
“Cikgu hantuk kepala budak pada dinding pun dikira ‘touch’ dan buli. Boleh ‘you touch you go’ juga,” katanya. – UTUSAN