PETALING JAYA: Seorang wanita warga Indonesia ditahan kerana dikesan memiliki cap keselamatan yang mencurigakan semasa melalui pemeriksaan imigresen di Balai Berlepas, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 (KLIA2), semalam.
Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) dalam kenyataan berkata, hasil siasatan awal mendapati wanita berusia 25 tahun itu memasuki Malaysia melalui Imigresen Malaysia, Kompleks Sultan Abu Bakar, Tanjung Kupang, Johor.
“Namun begitu, pemeriksaan lanjut melalui Sistem MyIMMs menunjukkan tiada sebarang rekod rasmi pergerakan keluar atau masuk bagi individu berkenaan sepanjang tempoh sehingga tahun ini.
“Susulan itu, wanita berkenaan telah ditangkap pada pada 9 malam kerana melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
Menurutnya, individu terbabit ditahan di Depot Imigresen KLIA2 sebelum diserahkan kepada Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Negeri Selangor untuk siasatan dan tindakan lanjut.
“AKPS KLIA akan membuat siasatan lanjut bagi mengenal pasti dalang yang bertanggungjawab dan tindakan tatatertib diambil ke atas mana-mana pegawai yang terlibat.
“Usaha membanteras pemalsuan dokumen perjalanan dan sebarang bentuk pelanggaran undang-undang imigresen akan terus dipergiat bagi memastikan keselamatan serta integriti pintu masuk negara sentiasa terpelihara,” katanya. – UTUSAN










