BALIK PULAU : Seorang wanita dilaporkan cedera dipercayai akibat dikelar oleh suaminya selepas berlaku satu pergaduhan antara mereka di Taman Tunas, Sungai Ara di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6 pagi itu, lelaki tersebut kemudiannya dikatakan turut bertindak mengelar dirinya sendiri.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu menerusi Malaysia Emergency Response Services (MERS) 999 sebelum berkejar ke lokasi.
“Polis dimaklumkan bahawa terdapat satu pergaduhan antara suami dan isteri di mana si suami dikatakan telah bertindak mengelar isterinya sebelum mengelar dirinya sendiri.
“Kedua-dua mangsa yang cedera kini telah dibawa ke Hospital Pulau Pinang dengan menaiki ambulans,” katanya di sini, hari ini.
Difahamkan, polis akan turut mengadakan satu sidang akhbar berhubung kejadian berkenaan dalam masa yang terdekat.-UTUSAN