Walau apa pun yang berlaku, anak-anak tetap hormati dia - Nora Ariffin - Utusan Malaysia

Walau apa pun yang berlaku, anak-anak tetap hormati dia – Nora Ariffin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Penyanyi, Datuk Nora Ariffin memaklumkan hubungan anak-anaknya dengan suaminya, Dr. Rushdi Ramli kekal harmoni meskipun mereka ketika ini sedang melalui proses perceraian.

Malah kata Nora, anak-anaknya tidak sedikit pun menyimpan sekelumit rasa benci dan tetap menghormati Dr. Rushdi yang masih bergelar bapa tiri mereka.

“Anak-anak tahu apa yang berlaku antara kami namun hubungan mereka dengan suami saya masih seperti biasa.

“Mereka masih berhubung. Saya selalu ingatkan anak-anak yang kami tak mahu bermasam muka.

“Malah anak-anak saya berpendirian, walau apa pun yang berlaku, mereka akan tetap hormati dia.

“Saya tidak ajar anak-anak saya membenci atau memusuhi dia, tidak begitu,” ujarnya yang hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Petaling bagi proses laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP) bagi prosiding kes perceraiannya.

Nora hadir ke mahkamah ditemani kakak angkatnya Rafeah Ariffin manakala Dr. Rushdi hadir secara berasingan.

Dalam masa yang sama, Nora juga menegaskan tiada istilah dia bermasam muka dengan suaminya itu kerana hubungan mereka juga sehingga kini kekal baik.

“Kami tidak pernah bermusuh, bergaduh jauh sekali. Tapi kami sedar yang keadaan (rumah tangga) kami sekarang ini tidak sihat.

“Jadi kami kena buat sesuatu untuk selesaikannya. Oleh itu, kami ikut sahaja prosedur yang telah ditetapkan mahkamah.

“Kalau bercerai hari ini pun, kami tidak akan bermusuh sebab kami sama-sama beragama Islam. Tak elok bermasam muka.

“Kita minta yang baik-baik sahaja. Saya tak mahu masuk campur kalau ada pihak yang masih mempertikaikan,” kongsinya.

Nora sekitar Ogos tahun lepas diceraikan Dr Rushdi menerusi sebuah video.
Mereka bagaimanapun kembali rujuk selepas sebulan mengumumkan penceraian tersebut.

Kemelut rumah tangga penyanyi itu memasuki episod baharu apabila Nora memfailkan perceraian di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, Mac tahun ini.

Ibu empat cahaya mata itu memaklumkan keputusan berkenaan diambil demi memenuhi permintaan isteri pertama Dr Rushdi, Ustazah Rose Aliza Sutrisno selain desakan pihak ketiga.

Terdahulu, Nora sah bergelar isteri kepada Pensyarah Kanan, Jabatan Fiqh dan Usul itu pada hujung 2021.

Penyanyi lagu Di Persimpangan Dilema tersebut pernah mendirikan rumah tangga dengan komposer Allahyarham Johan Nawawi pada 1992.

Mereka dikurniakan empat anak iaitu Putri Nor Dahlia, Mohd Syakir Iman, Mohd Syakir Alif dan Putri Nor Fathehah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN