PETALING JAYA: Pelakon dan pengacara, Uyaina Arshad mengesahkan dirinya bakal menimang cahaya mata ketiga.
Berita gembira tersebut dikongsikan oleh Uyaina menerusi sebuah hantaran di Instagram.
“Sebenarnya saya simpan cerita ini dah lama dan berita ini eksklusif untuk netizen di luar sana.
“Ada sesuatu yang saya nak bagitahu yang sebenarnya saya sedang mengandung tiga bulan,” katanya.
Dalam perkongsian sama, bekas pengacara Wanita Hari Ini itu mengakui dirinya tidak dapat meneruskan usahanya untuk menurunkan berat badan kerana kehadiran cahaya mata ketiganya itu.
Pun begitu, Uyaina turut menyatakan kemungkinan ini bakal menjadi kehamilannya yang terakhir mengikut perancangannya bersama suami, Raja Syahiran.
“Bukanlah setiap tahun pun saya hamil cuma selang dua tahun saja, saya hamil.
“Anak pertama pada 2022, anak kedua pada 2024 dan insya-Allah anak ketiga ini akan lahir pada 2026.
“Sebenarnya kami (Uyaina dan suami) tak rancang pun dan ini semua pemberian Tuhan.
“Dan kalau perancangan, Insya-Allah ini yang terakhir,” ujarnya.
Teruja mendengar berita gembira itu, perkongsian tersebut turut dihujani ucapan tahniah dan doa dari rakan selebriti dan peminat di ruangan komen.
Untuk rekod, Uyaina dan Raja Syahiran mendirikan rumah tangga pada 21 Disember 2021.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata Raja Urhan, 3 dan Raja Urayyan yang kini berusia setahun.-UTUSAN