PUTRAJAYA: Empat pemimpin berpengaruh dunia iaitu Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump; Presiden China, Xi Jinping; Presiden Brazil, Lula Da Silva dan Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa bakal menghadiri sidang Kemuncak ASEAN yang dijadualkan berlangsung pada Oktober depan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, persidangan itu bakal menjadi satu perhimpunan besar yang menghimpunkan pemimpin kuasa besar bersama dengan ketua-ketua negara rantai ini.
“Ia bakal menjadi satu perhimpunan sebenar yang menghimpunkan pusat-pusat kuasa dan pengaruh utama dunia.
“Kita amat menantikan kehadiran ketua-ketua kerajaan ASEAN serta rakan dialog kita, termasuk Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dan saya percaya Presiden Jinping dari China.
“Selain itu, kita turut menerima petunjuk positif mengenai kehadiran Presiden Brazil, Lula da Silva dan Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa, yang masing-masing kini memegang jawatan Presiden BRICS dan G20,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari ASEAN ke 58 di sini hari ini. – UTUSAN